Polis cedera, putus urat pergelangan tangan dilibas parang

Iklan
Tangan anggota cedera ketika menahan suspek yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah di Teluk Intan pada Khamis. Polis turut merampas senjata dan dadah (kanan) yang ditemui dalam serbuan pasukan BSJN di Teluk Intan. Foto: ihsan polis

TELUK INTAN - Dua anggota polis cedera di tangan ketika bergelut menahan seorang pengedar dadah di sebuah rumah di Taman Melati, Padang Tembak di sini pada Khamis.

Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, Koperal Mohd Rasyidi Che Ross mengalami luka dan putus urat di pergelangan tangan kiri manakala Inspektor Tie Ngie Sieng luka di tangan kiri.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, sebelum kejadian pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak menerima aduan berkaitan penyalahgunaan dadah melibatkan seorang lelaki berusia 43 tahun.

"Suspek kemudian bertindak di luar kawalan dengan mengamuk menggunakan parang dan memecahkan cermin pintu rumahnya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Iklan

Menurut beliau, pasukannya bertindak untuk menahan suspek yang enggan memberikan kerjasama ketika dipujuk.

"Polis terpaksa memotong mangga pintu rumah dan berlaku pergelutan menyebabkan kedua-dua polis dan suspek cedera.

Iklan

"Hasil pemeriksaan menemui dadah jenis ganja seberat 84.72 gram dan methamphetamin seberat 5.54 gram," katanya.

Azizi berkata, kedua-dua polis dan suspek telah dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan.

"Mohd Rasyidi yang putus urat di pergelangan tangan kiri akan menjalani pembedahan bagi menyambung urat tersebut.

"Suspek positif dadah jenis methamphetamin itu yang mengalami kecederaan luaran masih dirawat di hospital berkenaan," katanya.

Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39A(1), 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 186 iaitu menghalang tugas penjawat awam," katanya.