Perjalanan terakhir Ismail Haniyeh

Iklan
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei (tengah), dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, disebelah kirinya, memimpin solat jenazah pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dan pengawal peribadinya di Teheran, Iran.

DOHA - Umat Islam di seluruh dunia mengiringi perjalanan terakhir Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang terkorban dalam serangan udara oleh rejim Zionis Israel di Teheran, Iran pada Rabu.

Iran yang berkabung selama tiga hari berikutan kematian Haniyeh, mengadakan acara penghormatan terakhir buat pemimpin tertinggi Hamas itu pada Khamis.

Iklan
Iklan

Ribuan hadir di majlis berkenaan, di mana ia turut disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen di Iran dan Jordan.

Jenazahnya akan diterbangkan dari Teheran ke Doha selepas Iran selesai mengadakan upacara penghormatan terakhir.

Iklan

Pada Jumaat, Qatar melakukan pengebumian buat pejuang Palestin itu yang sebelum ini menetap di Doha bersama-sama dengan anggota Hamas yang lain.

Ribuan rakyat Iran mengambil bahagian dalam upacara menghormati Haniyeh, di Teheran, pada 1 Ogos 2024.

Jasadnya akan disemadikan di tanah perkuburan di Lusail, utara ibu kota selepas solat jenazah di masjid Imam Muhammad bin Abdul Wahhab.

Iklan

Turkiye dan Pakistan turut mengumumkan hari berkabung pada Jumaat sebagai penghormatan atas pemergian Haniyeh, sementara Hamas berarak untuk menzahirkan kemarahan terhadap kezaliman rejim Zionis.

Perarakan selepas solat Jumaat itu diadakan bagi membantah pembunuhan Haniyeh serta perang yang berterusan dan tiada tanda akan reda di Genting Gaza.

Sementara itu di Malaysia, masjid di seluruh negara pada Khamis mengadakan solat jenazah ghaib buat Haniyeh.

Selain masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), solat jenazah ghaib turut diadakan di beberapa negeri sebagai tanda solidariti umat Islam di Malaysia terhadap perjuangan umat Islam Palestin dalam menentang kezaliman rejim Zionis. Ia melibatkan ribuan umat Islam di Malaysia.

Haniyeh memainkan peranan penting dalam rundingan gencatan senjata ke atas Gaza bersama Qatar yang memimpin rundingan di belakang tabir selama berbulan-bulan bersama dua lagi negara perantara iaitu Mesir dan Amerika Syarikat (AS).

Haniyeh gugur syahid ketika berkunjung ke Iran untuk menghadiri majlis angkat sumpah jawatan Presiden baru, Masoud Pezeshkian pada Selasa.

Pembunuhan pemimpin Hamas itu berlaku hanya beberapa jam selepas Israel menyerang selatan Beirut dan menyebabkan komander Hizbullah, Fuad Shukr terkorban,

Hamas sebelum ini mengesahkan Haniyeh dan pengawal keselamatannya terbunuh dalam satu serangan peluru berpandu di kediamannya di Teheran pada Rabu. - AFP

Al-Fatihah.