ALOR SETAR - Pemergian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh tidak akan melumpuhkan operasi kumpulan pejuang itu di Gaza.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dengan gugurnya Haniyeh, sudah tentu Israel sangka telah berjaya membunuh ‘otak utama’ pergerakan Hamas.
Namun katanya, tanpa mereka sedari, kekejaman itu hanya akan mengundang tindak balas lebih dahsyat.
"Seorang gugur, berpuluh malah mungkin beratus lagi ‘Ismail Haniyeh’ akan dilahirkan,” katanya di sini pada Jumaat.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Kedah mengutuk pembunuhan bekas Perdana Menteri Palestin itu yang terkorban dalam serangan udara di kediamannya di Teheran, Iran pada Rabu.
"Serangan yang turut meragut nyawa pengawal peribadi Ketua Biro Politik Hamas itu perlu disiasat secara lebih mendalam.
"Ini kerana kerajaan republik Islam Iran diketahui menyokong kuat perjuangan Hamas serta menjaga keselamatan pemimpin Palestin itu,” katanya.
Beliau berkata, sudah tentu ini menjadi cabaran baharu yang getir bagi Presiden Iran yang baru dilantik, Masoud Pezeshkian.
"Gugurnya pemimpin paling kanan Hamas ini sudah tentu membuatkan kita semua sedih dan terkilan.
"Namun ingatlah janji ALLAH SWT terhadap perjuangan mereka yang ikhlas di Palestin yang akan terus menunggu giliran syahid masing-masing.
"Israel tidak membunuh Haniyeh tetapi mereka telah menghantarnya ke syurga. Berbahagialah di sana,” ujarnya.