PUSAT beli-belah komuniti kreatif GMBB menjadi titik tumpuan seni dan budaya bagi memenuhi keperluan ruang artistik di bandar metropolitan yang sedang berkembang pesat.
Pengurus Besarnya, Lim Ying Hui berkata, GMBB yang dibayangi pusat pemborong fesyen kini berubah menjadi hub kreatif di sembilan tingkatnya yang berkeluasan kira-kira 110,000 kaki persegi.
"Berkonsepkan dari sekecil benih ke sebesar rimba, begitulah peranan GMBB bagi memupuk bakat tempatan dalam ekosistem dinamik. Artis, artisan dan kreatif berlainan latar belakang, bakat serta pengalaman boleh berkumpul, berkolaborasi sekali gus bantu merangsang ekonomi selain budaya negara ini.
"Inspirasi awal diambil dari pusat kreatif global seperti 798 Art Zone di Beijing dan PMQ di Hong Kong hingga realiti disemaikan di GMBB.
"Kami lalui perjalanan luar biasa dalam mencorak landskap kreatif dan budaya Malaysia," katanya ketika majlis pelancaran secara rasmi GMBB di Grey Box, Bukit Bintang di sini pada Khamis.
Hadir menyempurnakan majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Amerrudin Ahmad serta Pengarah GMBB, Ahmad Zul-Qarnain.
Tambah Ying Hui, antara komuniti kreatif tersedia di GMBB seperti Five Arts Centre, Fusion Wayang Kulit, Gangsapura, Museum of Picture Book Art, galeri unik, studio seni dan kafe menarik serta lain-lain lagi.
"Fokus kami untuk mengangkat nilai dibawa GMBB dalam menawarkan pengalaman pelancongan di negara ini yang unik dan sumbangan kepada ekonomi kreatif serta budaya tempatan sentiasa wujud untuk semua lapisan masyarakat.
"GMBB sebuah tempat untuk semua komuniti berkumpul dan menerokai kemeriahan suasana kreatif serta budaya Malaysia. Kami mengalu-alukan orang ramai menghadiri acara dan aktiviti menarik yang akan berlangsung sepanjang tahun ini," katanya.
Menurutnya, bertepatan dengan slogan 'more together', GMBB menekankan kolaborasi dalam merancakkan lagi ekosistem seni.
Katanya, GMBB mengutamakan aktiviti dan inisiatif bermanfaat serta menggalakkan lebih banyak interaksi antara artis, artisan dan kreatif dengan masyarakat.
"Setiap kepelbagaian bengkel, pameran, persembahan dan aktiviti dianjurkan dapat mencetuskan lebih banyak pemahaman, pengalaman serta konklusi bermakna buat semua," katanya.