Lima pekerja kontraktor ditahan curi kabel projek LRT 3

Iklan
Polis berjaya menumpaskan kumpulan pencuri kabel di tapak pembinaan LRT 3 dengan penahanan lima lelaki di pada Khamis. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan kumpulan pencuri kabel di tapak pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) membabitkan kerugian RM2.5 juta dengan penahanan lima lelaki termasuk seorang warganegara Pakistan di tiga tapak projek berkenaan, pada Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua mereka berusia antara 32 hingga 41 tahun itu ditahan dalam serbuan di tapak projek LRT 3 di Seksyen 2 dan Seksyen 14 di Shah Alam serta di Kayu Ara Damansara antara 6.30 petang hingga 9 malam.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua lelaki terbabit ialah pekerja syarikat kontraktor yang dilantik bagi pembinaan LRT 3 yang mempunyai akses ke tapak pembinaan.

Mohd Shuhaily berkata, kumpulan berkenaan bergerak aktif hampir setahun dengan mencuri kabel yang berfungsi sebagai pengalir arus elektrik ke bumi.

Iklan

Beliau berkata, sebanyak 15 laporan polis telah dibuat pemilik projek di Shah Alam dan Klang berhubung kecurian berkenaan.

Kesemua suspek ditahan di Lokap Berpusat Shah Alam dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A dan 379 Kanun Keseksaan. - Bernama

Iklan