Terengganu lulus peruntukan RM100,000 bersih Pulau Redang

Iklan
Keadaan sampah sarap yang tidak diuruskan dengan baik mencemarkan pemandangan Pulau Redang.

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu meluluskan peruntukan segera sebanyak RM100,000 bagi kerja-kerja membersihkan kawasan kolam semula jadi di Pasir Panjang, Pulau Redang.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, langkah itu diambil bagi menangani masalah kebersihan yang telah lama dialami di kawasan pelancongan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan kawasan itu akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan dijangka disiapkan selewat-lewatnya awal tahun depan.

"Kita harap dengan usaha ini, keadaan persekitaran di Pasir Panjang dapat dipulihkan dan dikekalkan dalam keadaan baik," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Iklan
Razali (dua dari kiri) bersama Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif (kiri) ketika meninjau masalah kebersihan di Pulau Redang, baru-baru ini.

Menurut Razali, kerajaan negeri sentiasa berusaha mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan Pulau Redang terus kekal sebagai destinasi pelancongan utama di Terengganu.

"Kita harap masyarakat juga lebih peka mengenai isu pencegahan pencemaran serta pemuliharaan alam sekitar, menjadikannya sebagai sebahagian daripada budaya hidup sehari-harian

Iklan
Kerajaan negeri Terengganu meluluskan peruntukan bagi menangani masalah sampah sarap dan kebersihan di Pasir Panjang, Pulau Redang.

"Apabila semua pihak dapat memainkan peranan, negeri kita akan terjaga dan pelancong pun gembira untuk datang kembali ke sini," ujarnya.

Sebelum ini, Razali melawat tapak cadangan projek pembangunan pelancongan dan sesi perbincangan bersama penggiat pelancongan Terengganu.

Dalam lawatan tersebut pihaknya turut meneliti masalah sampah di kolam semula jadi Pasir Panjang dan mendapati bahawa isu kebersihan di kawasan itu perlu ditangani segera.

Keadaan air di kawasan kolam semula jadi di Pasir Panjang, Pulau Redang yang tercemar dan tidak terjaga.