Pemergian Sharifah Azizah kehilangan besar buat UMNO - Noraini

Iklan
Allahyarham Sharifah Azizah

KLUANG - Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota yang juga Ketua Wanita UMNO Kluang, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain sememangnya satu kehilangan besar buat parti itu kerana Allahyarham seorang yang komited bekerja walaupun dalam keadaan sakit, kata Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, kerajinan Allahyarham menjalankan setiap tanggungjawab yang diamanahkan cukup dipandang tinggi oleh Wanita UMNO bukan sahaja di Johor, tetapi juga di peringkat kebangsaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, corak kepimpinan Sharifah Azizah yang sentiasa turun padang menyantuni masyarakat setempat sentiasa dijadikan contoh dalam kepimpinan Wanita UMNO.

Anak-anak dan saudara mara terdekat menjirus air mawar dan menabur bunga di atas pusara Sharifah Azizah di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kampung Tengah Kluang pada Jumaat. Foto Bernama

"Arwah banyak dahulukan masyarakat... kita kehilangan pemimpin yang banyak jasanya, lebih-lebih lagi arwah merupakan EXCO Wanita UMNO Malaysia yang setiap jasa dan pengorbanannya akan sentiasa kami ingati.

Iklan

"Secara luarannya, arwah (Sharifah Azizah) tak nampak sakit dan kita tidak tahu beliau sakit... kali terakhir saya bertemu arwah pada 27 Julai (Sabtu),” katanya kepada pemberita di kediaman Sharifah Azizah di Jalan Ahmad Khan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Johor, Asiah Md Ariff berkata, sebahagian kehidupan Sharifah Azizah didedikasikan bekerja untuk masyarakat apabila mula menjadi ahli UMNO sejak berusia 18 tahun.

Iklan

"Banyak jasa telah ditabur oleh beliau kepada pembangunan politik khususnya di Johor,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday pula berkata, Sharifah Azizah yang merupakan antara Ketua Wanita UMNO yang lama berkhidmat adalah seorang yang tegas dan komited dengan tanggungjawab diberikan.

"Salam takziah kepada keluarga Allahyarham, terima kasih atas sumbangan kepada parti... beliau memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Kluang sejak 1993,” katanya.

Sharifah Azizah meninggal dunia pada 12.32 tengah hari tadi setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini akibat mengalami sesak nafas pada awal pagi Rabu. - Bernama