GEORGE TOWN - Empat nelayan tempatan ditahan bersama 500 kilogram (kg) ikan baja selepas bot tunda mereka dipercayai menceroboh zon penangkapan ikan di kedudukan 0.9 batu nautika tenggara Batu Maung, di sini pada Jumaat.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, tangkapan dibuat pada jam 2 petang itu sebaik pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti pencerobohan zon perikanan di sekitar perairan negeri ini.
"Kesemua yang ditahan berumur lingkungan 42 hingga 64 tahun diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Pulau Pinang dan disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
"Mereka turut disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 iaitu menggunakan alat peralatan komunikasi yang tidak dibenarkan tanpa memiliki sebarang surat kebenaran penggunaannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, kejayaan tangkapan ini adalah hasil kerjasama Maritim Negeri Pulau Pinang melalui program Gerak Santai bersama persatuan-persatuan nelayan di sekitar perairan negeri ini.
"Pertemuan yang diatur setiap minggu itu adalah bermotifkan kesefahaman berhubung kekangan aktiviti perikanan dan undang-undang di laut.
"Perkara ini dilihat mendapat hasil yang positif kerana berlaku pengurangan penyaluran aduan kepada Maritim Negeri Pulau Pinang khasnya berhubung aktiviti pencerobohan zon,” katanya.
Bagaimanapun, Razali berkata, masih terdapat segelintir yang masih berdegil tidak mematuhi undang-undang pengezonan mengikut syarat sah lesen.