KOTA BHARU - Kelantan secara tiba-tiba 'sunyi' daripada perkhidmatan bas henti-henti apabila kira-kira 100 pemandu bas mogok dipercayai membabitkan isu pembayaran gaji yang dikatakan bermula pada Disember tahun lalu.
Tindakan sepakat itu menyebabkan lebih 60 bas yang sepatutnya beroperasi seawal jam 6 pagi tidak kelihatan di semua stesen bas dan jalan raya di negeri ini.
Tinjauan Sinar Harian di Stesen Bas Kota Bharu mendapati lokasi itu lengang dan kawasan parkir bas henti-henti kosong malah pekerja di kaunter perkhidmatan juga memberitahu perkhidmatan bas tersebut tiada semalam.
Keadaan turut menyebabkan penumpang merungut kerana tidak menjangkakan perkara itu sehingga menyebabkan urusan tertangguh selain terpaksa menaiki kereta sewa dengan tambang yang jauh lebih mahal.
Seorang pengguna, Hamizi Hashim, 43, berkata dia bersama isteri, Aishah Nik We, 36, dan anak lelaki berusia tiga tahun tiba dari Jerek, Gua Musang pada jam 11 pagi tadi atas urusan pasport Aishah namun terbengkalai kerana masalah ketiadaan bas.
"Isteri saya sarat mengandung lapan bulan dan saya teman dia untuk menguruskan pasport di Kota Bharu dan kemudian perlu ke Rantau Panjang selepas ini tetapi tidak dapat ke Rantau Panjang kerana tidak ada bas.
"Kami tiga beranak datang dari Gua Musang semalam dengan menaiki kereta api sampai Pasir Mas dan kemudian menaiki kereta sewa ke Kota Bharu. Kos pengangkutan sudah habis RM80 dan sekarang tidak ada bas pula,” katanya ketika ditemui di stesen tersebut hari ini.
Menurutnya, dia sekeluarga terpaksa menunggu bas ekspres untuk pulang ke Gua Musang pada jam 6 petang tanpa menyelesaikan urusan pasport isterinya itu dan kos tambang balik pula mencecah RM60 ke atas dia dan isteri.
"Terpaksa balik dulu ni, semua kerja terbengkalai. Kalau nak naik kereta sewa terus ke Gua Musang akan menelan belanja mencecah RM200. Jadi, naik bas ekspres sahaja,” katanya.
Seorang lagi pengguna, penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Zahratunnisak Ab Rahman,19, yang sedang cuti semester berkata, dia tidak mengetahui berhubung mogok berkenaan sehingga tiba di stesen bas itu.
"Saya datang dari Pasir Tumboh untuk berjalan-jalan di Kota Bharu dan apabila hendak pulang ke rumah dengan bas henti-henti ini tiba-tiba dapat tahu tidak ada bas.
"Susah kalau tidak ada perkhidmatan bas henti-henti sebab tambang dari Kota Bharu ke Pasir Tumbuh hanya RM2 berbanding menaiki teksi atau Grab yang mengenakan caj sekitar RM18,” katanya.
Seorang pelajar Sekolah Pondok Pasir Tumboh, Shahrani Farid, 26, terpaksa menggunakan perkhidmatan kereta sewa dengan tambang RM25 untuk pulang dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
"Saya datang tunggu bas dan tidak tahu pun tidak ada bas henti-henti hari ini sebab biasa sememangnya menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.
Pada 17 Disember tahun lalu, pemandu bas sama pernah mengadakan mogok berhubung isu pembayaran gaji yang dikatakan tertunggak sejak beberapa bulan.
Sementara itu, pihak pengurusan syarikat masih belum memberikan maklum balas ketika dihubungi Sinar Harian.