Draf MoU peruntukan pembangkang siap, sedia diserah - Fadillah

Iklan
Fadillah Yusof

PUTRAJAYA - Draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang telah siap dan sedia untuk diserahkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata, beliau telah mengarahkan supaya draf berkenaan diserahkan kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Iklan
Iklan

"Draf perjanjian saya akan bagi kepada Datuk Taki (Takiyuddin) untuk mereka berikan maklum balas. Kalau mereka setuju dengan perjanjian (itu), nanti kita akan tetapkan mesyuarat jawatankuasa bersama antara pembangkang dan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu isu agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang diselesaikan segera.

Iklan

Fadillah ditemui selepas melancarkan program Car Free Day Putrajaya dan larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) XIX 2024, di sini pada Sabtu.

Pada 9 Julai lepas, Anwar dilaporkan berkata, isu agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit untuk diselesaikan.

Iklan

Beliau berkata, syarat ditetapkan kepada mana-mana ahli Parlimen pembangkang yang mahu memperoleh peruntukan adalah syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.

Pada Mei lepas, Fadillah berkata, draf MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sedang dimuktamadkan, antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat. - Bernama