PEMAIN badminton China, Huang Ya Qiong meraikan dua kejayaan selepas perlawanan akhir beregu campuran di Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung di Arena Porte de La Chapelle pada Sabtu.
Ya Qiong, 30, bersama pasangannya Zheng Si Wei berjaya meningkatkan pencapaian pingat perak di Tokyo 2020 kepada emas setelah menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 21-8, 21-11.
Iklan
Iklan
Selepas upacara penyampaian pingat, Ya Qiong menerima satu kejutan manis apabila teman lelakinya yang juga pemain beregu lelaki China, Liu Yu Chen, 29, melamarnya dengan sebentuk cincin berlian.
"Saya tidak dapat menggambarkan perasaan kerana terlalu gembira, gembira dan gembira. Memperoleh pingat emas adalah pengiktirafan perjalanan kami," katanya mengenai kejayaan tersebut.
"Saya terkejut dengan cincin pertunangan ini. Saya belum memikirkan bagaimana kami akan meraikan (untuk lamaran dan kemenangan ini)," katanya.
Yu Chen, yang meraih pingat perak dalam edisi lalu bersama Li Jun Hui menamatkan kempen kali ini dengan tangan kosong apabila beliau bersama gandingannya Ou Xuan Yi gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.- Bernama
Artikel Berkaitan