KUANTAN - Sebuah syarikat pemborong ayam di sini dikompaun RM5,000 kerana kesalahan menjual ayam standard melebih harga kawalan yang ditetapkan kelmarin.
Sikap tamak pemborong berkenaan terbongkar ekoran aduan peruncit sekitar daerah ini yang mendakwa menerima bekalan ayam daripada syarikat itu melebihi harga yang dikawal.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali berkata, susulan aduan diterima sepasukan anggota penguatkuasa membuat siasatan ke atas syarikat terbabit.
Menurutnya, berdasarkan bukti invois daripada peniaga runcit serta bil yang dijumpai di premis tersebut mendapati pemborong itu menjual ayam standard melebihi harga kawalan ditetapkan.
"Bagi kesalahan itu, pemborong terbabit dikenakan tindakan kompaun di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Fitri berkata, kesalahan itu yang pertama melibat pemborong dikesan dan diambil tindakan di negeri ini.
"Ekoran kes ini, pemeriksaan susulan dilakukan ke atas beberapa lagi pemborong di sekitar Kuantan bagaimanapun semua mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"KPDNHEP memberi amaran kepada peniaga borong dan runcit supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2020 berkuatkuasa selama 14 hari dari 20 Januari lalu hingga 2 Februari," katanya.