SEREMBAN - Program peralihan khas lesen B penuh kepada pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 dibuat setelah mempertimbangkan pelbagai faktor dengan teliti.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, program itu terbuka kepada pemegang lesen B1 dan B2 yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dan mahu menaik taraf lesen mereka kepada motosikal berkuasa tinggi, namun perlu mematuhi syarat ditetapkan.
"Pemohon perlu bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau perkara yang belum selesai di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
"Ada yang minta dibuat secara automatik tetapi tidak boleh, mereka perlu pergi ke institut memandu menjalani kursus dua jam. Pemohon perlu layak untuk mengambil lesen B penuh ini," katanya di sini pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani dan menyampaikan bantuan lebih RM60,000 bagi membaik pulih beberapa fasiliti serta keperluan sekolah tersebut.
Turut berkenan berangkat ke majlis tersebut Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, kementerian mengambil kira pengalaman berbanding usia kerana ia satu keputusan yang praktikal dan bertepatan.
"Katakan mengambil kira umur, tapi pemohon tiada pengalaman dan tidak pernah mengambil lesen B2, tidak sesuai juga... jadi kita ambil satu pertimbangan yang lebih praktikal iaitu berdasarkan berapa lama mereka sudah ambil lesen," katanya.
Media semalam melaporkan pemegang LMM kelas B1 dan B2 selama 10 tahun dan ke atas layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh, bermula 1 Oktober ini.
Anthony berkata, pemohon perlu memenuhi syarat ditetapkan antaranya menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian ke kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di institut memandu dengan kos yuran RM160.
Beliau berkata, pemohon perlu menjalani program amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pengoperasian motosikal berkuasa besar untuk tempoh dua jam sahaja. - Bernama