KUANTAN - Musim panas dan kering yang sedang melanda negara ini tidak memberikan kesan kepada sektor pertanian di Pahang.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, setakat ini, tiada keperluan untuk melakukan operasi pembenihan awan (OPA) di negeri ini.
"Kalau di Pahang, setakat ini tiada keperluan OPA. Walaupun kita berlaku (cuaca panas) dan sebagainya, tapi di Pahang (masih) belum sampai ke tahap menghadapi masalah.
"Empangan dan bekalan air kita masih berada di paras yang baik. (Begitu juga), sektor pertanian masih dalam keadaan terkawal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Pahang AgroFest 2024 di Yayasan Pahang di sini pada Sabtu.
Terdapat 76 tapak pameran disediakan dengan melibatkan 62 pempamer dari pelbagai latar belakang iaitu dari badan kerajaan, pembekal jentera dan input pertanian, institusi kewangan dan perbankan, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, pengusaha ladang, pembekal automotif, dron dan teknologi dari seluruh Malaysia.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dalam kenyataan berkata, operasi pembenihan awan adalah satu daripada usaha kerajaan menangani impak fenomena cuaca panas dan Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan hingga penghujung September 2024.
Mengulas lanjut mengenai program Pahang Agrofest, Mohd Soffi berkata, ia dianjurkan bagi mengumpul kesemua penggiat industri dari pelbagai latar belakang seperti pembekal jentera, input pertanian, pengusaha ladang, petani kecil, penternak, nelayan dan teknologi untuk berkongsi maklumat dan mengembangkan produk dan pasaran.
Jelasnya, selain itu, ia bertujuan untuk menyebar luas pengetahuan kepada semua golongan bagi memastikan industri agro-komoditi kekal menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia.
"Tidak menjadikan industri perladangan sebagai industri dominon di negara ini, sebaliknya industri lain juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan kesedaran tentang keterjaminan makanan bagi mengatasi krisis bekalan makanan.
"Selain itu, sasaran pengunjung dari kalangan pendidik dan pelajar institusi pengajian tinggi ini akan menjadi platform terbaik untuk mereka mendalami ilmu dalam teknologi dan inovasi bagi memenuhi kehendak penggiat industri pada masa hadapan," katanya.
Beliau memberitahu, pelaksanaan program ini diharap dapat mencapai empat objektif iaitu meningkatkan pengetahuan tentang kepentingan mekanisasi dan teknologi dalam industri terutama dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia dan meningkatkan produktiviti.
Katanya, selain itu dapat memberi pendedahan kepada penggunaan input pertanian seperti peralatan, baja dan racun bagi meningkatkan hasil dan kawalan kepada serangan perosak dan penyakit.
"Program ini dapat menyebar luas pemahaman tentang kepelbagaian tanaman dan ternakan dalam memperkukuh kepentingan sekuriti makanan.
" Di samping, memberi makluman berkaitan bantuan teknikal dan insentif-insentif yang disediakan oleh badan Kerajaan kepada penggiat industri dan petani-petani kecil," katanya.