SHAH ALAM - Keperibadian mulia Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menarik perhatian ramai apabila baginda membantu mangsa kemalangan.
Ketika dalam perjalanan ke program Majlis Pra Kabinet bersama YAB Perdana Menteri pagi ini, Seri Paduka menuruni kenderaan rasmi baginda untuk memeriksa keadaan dan bertanya khabar kepada pemandu kereta yang terlibat.
Kemalangan itu berlaku berhampiran plaza tol Lebuhraya MEX Putrajaya.
Baginda kemudian meneruskan perjalanan ke Istana Melawati, Putrajaya untuk Majlis Menghadap Pra Kabinet bersama Perdana Menteri.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun Instagram Istana Negara, Al-Sultan Abdullah menuruni kenderaan rasmi baginda untuk memeriksa keadaan dan bertanya khabar kepada pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Mangsa kemalangan bagaimanapun tidak mengalami kecederaan yang serius.
Pada 5 Ogos lalu, Seri Paduka turut mencemar duli turun dari kenderaan rasmi untuk memberi bantuan kepada mangsa kemalangan jalan raya jalan susur dari pintu utama Istana Negara ke Jalan Tuanku Abdul Halim.
Ketika itu difahamkan, baginda dalam perjalanan untuk merasmikan Pameran Raja Kita di Muzium Diraja.