SINGAPURA – Negara berpopulasi hampir enam juta penduduk ini membuktikan kejayaan mereka untuk menyediakan rumah mampu milik buat rakyat mereka dan bagaimana ia berkembang dengan pesat sejak lebih enam dekad lalu meskipun Singapura disenaraikan sebagai bandar paling mahal di dunia.
Projek itu direalisasikan di bawah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan pada awalnya ia memfokuskan reka bentuk asas untuk unit dan bangunan bagi memastikan kos yang rendah serta dapat disiapkan pada kadar yang cepat.
Mengikut peredaran zaman, reka bentuknya kini menawarkan gaya estetika yang lebih menarik dengan kemudahan yang sinonim dengan hartanah mewah malah HDB juga sedang giat menaik taraf flat perumahan lama mereka.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyebut kawasan kejiranan HDB dicirikan oleh kepelbagaian sosial dan ekonomi kerana dasar utama projek tersebut adalah untuk integrasi etnik dan sosial.
Isu ini turut diulas Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Indranee Rajah ketika bertemu dengan media Malaysia termasuk Sinar Harian, baru-baru ini.
"Kebanyakan individu mahu memiliki rumah mereka sendiri sebelum berkeluarga. Pemerintah telah melakukan sehabis baik untuk menangani isu berkaitan perumahan dan cuba memenuhi permintaan tersebut dan telah mencapai sasaran lebih 80 peratus.
"Kami melihat ia sebagai pendekatan komprehensif yang meliputi isu perumahan, materniti, penjagaan kesihatan, sokongan kewangan, keseimbangan kerja dan kehidupan serta pendidikan,” ujarnya.
Menurutnya, pemilikan rumah merupakan agenda utama pemerintah kerana kebanyakan penduduk Singapura mahu melakukan sesuatu mengikut langkah demi langkah dan secara turutan sebelum memutuskan untuk berkeluarga.
"Jadi, perkara pertama yang diperlukan ialah kediaman dan kami sedang membangunkan kawasan perumahan baharu, sekali gus meningkatkan bekalan rumah.
"Tetapi, kami juga menyedari bahawa keutamaan perlu diberikan kepada pasangan yang baru berkeluarga atau yang baru berkahwin khususnya yang mempunyai anak kecil.
"Oleh itu, kami menyediakan perumahan sewa sementara di bawah Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS).
"Baru-baru ini, kami juga memberikan baucar yang membolehkan mereka menyewa di pasaran terbuka dan tidak hanya terhad di HDB,” jelas beliau yang turut memegang jawatan Menteri Kedua Pembangunan Negara.
Tambahnya lagi, pemerintah menyediakan geran untuk membantu individu membayar flat HDB dan Skim Bayaran Muka Berperingkat kepada pasangan muda yang masih belum mempunyai kapasiti pendapatan yang kukuh.
"Skim Bayaran Muka Berperingkat itu bertujuan untuk memastikan mereka mampu untuk memiliki rumah idaman. Pada tahun lalu, bekas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong juga ada mengumumkan tentang rangka kerja pengelasan baharu untuk perumahan awam,” katanya.
Indranee menjelaskan tiada lagi perbezaan ketara seperti sebelum ini kerana kesemua hartanah di Singapura adalah matang.
"Sekarang kita memfokuskan kepada pendekatan berasaskan lokasi dipacu pasaran. Ia digelar Prime jika berada di lokasi utama dan strategik dan Plus di lokasi kurang menjadi tumpuan serta Standard untuk kawasan biasa,” ujarnya.
Beli rumah lebih untung
Isu sama turut dihuraikan Menteri Negara Kanan, Tenaga Manusia dan Kementerian Pertahanan Singapura, Zaqy Mohamad menerusi sesi pertemuan berasingan yang menjelaskan pemerintah memberikan sedikit sokongan dari segi pemilikan rumah selagi berada dalam sistem yang disediakan.
"Kebanyakan penduduk okey kerana pemilikan rumah di Singapura adalah pada kadar 90 peratus dan merupakan yang tertinggi di dunia.
"Mereka juga tidak perlu membayar sewa apabila sudah bersara dan ia membolehkan penduduk mempunyai tempat untuk berteduh. Saya mula menyedari tentang kesan positif pemilikan rumah apabila menyertai politik.
"Ada segelintir penduduk Singapura menganggap tiada beza jika mereka membayar sewa rumah pada setiap bulan. Tetapi, sebenarnya ada perbezaan kerana mereka dapat memiliki rumah selepas tempoh pinjaman berakhir. Menyewa juga bukanlah perkara yang negatif," katanya.
Menurutnya lagi, ada sesetengah pihak percaya tiada perbezaan menyewa atau membeli rumah kerana masih perlu membayar setiap bulan.
"Salah tanggapan seperti itu kerana pada akhirnya anda tetap memiliki rumah yang dibeli. Anda masih boleh menjualnya semula atau menurun taraf dan memperoleh wang daripadanya.
"Sedikit sebanyak ia dapat membantu simpanan wang persaraan kerana pilihan di tangan anda. Apabila anda bersara sudah mempunyai rumah dan boleh memutuskan sama ada mahu menyewakan bilik atau menjual sebahagian daripadanya di bawah Skim Beli Balik Pajakan.
"Ada banyak pilihan boleh dibuat selepas bersara. Saya percaya dengan visi Lee Kuan Yew ini meskipun ramai masih belum dapat melihat impak positif daripadanya selepas beberapa dekad,” ujarnya merujuk kepada idea bernas Perdana Menteri pertama Singapura itu.