Wanita bawa senjata api tanpa lesen ditahan disyaki ancam Trump

Iklan
Donald Trump - Foto: AFP
MOSCOW - Seorang wanita telah ditahan di Washington DC kerana mengancam bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan membawa senjata api tanpa lesen, lapor Sputnik, memetik Jabatan Polis Metropolitan di ibu kota AS itu pada Sabtu.

"Melalui siasatan detektif, Christina Montoya, 41, dari San Antonio, Texas telah ditahan dan didakwa dengan kesalahan membawa pistol tanpa lesen, memiliki senjata api tidak berdaftar, dan ancaman terhadap bekas presiden,” kata jabatan polis itu dalam satu kenyataan akhbar.

Wanita terbabit telah melakukan perjalanan ke Washington DC dari Texas, menurut polis yang menambah dia dan keretanya ditemukan di kawasan perumahan di bahagian timur laut bandar raya itu dan ditahan pada Jumaat malam.

Ancaman terhadap Trump mungkin bermula seawal 20 Julai, lapor CNN, memetik laporan polis.

Pada petang Jumaat, Perkhidmatan Rahsia AS mula menarik perhatian polis terhadap wanita terbabit, kata penyiar itu.

Pada 13 Julai, seorang lelaki bersenjata cuba membunuh Trump semasa satu perhimpunan kempen di Butler, Pennsylvania. Calon presiden Parti Republikan itu mengalami luka tembakan di telinga kanan. - Bernama