PPA Perlok bakal jadi pusat pembenihan terbesar ikan patin buah

Iklan
Munir (dua dari kanan) dan Azahari (kanan) melihat demonstrasi pembenihan ikan kelah di PPA Perlok semalam.

JERANTUT - Pusat Perkembangan Akuakultur (PPA) Perlok bakal menjadi pusat pembangunan induk dan pembenihan ikan patin buah terbesar di negara ini.

Usaha itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia untuk meningkatkan hasil pengeluaran spesies ikan itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan daripada 500 tan kepada lebih 1,000 tan setahun.

"Kita menggunakan sistem kolam kerana lebih baik untuk menternak ikan dalam jumlah yang banyak berbanding sangkar selain teknologi baharu bagi memastikan pembenihan dan ternakan lebih berjaya.

Iklan

"Program ini turut mendapat sokongan daripada pengkaji Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ada penemuan terkini berkaitan teknologi akuakultur. Ia dapat diaplikasikan kepada penternak di Pusat Perkembangan Akuakultur Perlok,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama Penternak Daerah Jerantut di PPA Perlok.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman, wakil Jabatan Sains Marin UIAM dan 20 penternak ikan air tawar sekitar Jerantut.

Munir juga berharap golongan muda dapat menyertai bidang tersebut bagi membantu meningkatkan pengeluaran ikan patin buah.

"Buat masa ini, di sini mempunyai seramai 20 penternak tetapi lebih ramai diperlukan kerana mereka boleh diletakkan dalam kelompok tertentu termasuk menjaga anak ikan dan ada yang menternak secara besar-besaran,” katanya.

Sementara itu, mengulas rungutan nelayan sungai yang mendakwa kehadiran ikan bukan spesies tempatan yang membiak di perairan negara, beliau menegaskan pihaknya sentiasa melakukan pemantauan terhadap situasi tersebut supaya ia tidak menjejaskan ekosistem sedia ada.

"Orang ramai perlu diberi kesedaran supaya tidak melepaskan ikan luar ke sungai atau kolam bagi membendung masalah ini.

"Jika tidak dikawal situasi ini boleh mengakibatkan ikan spesies tempatan yang bernilai tinggi pupus dengan cepat,” katanya.

Menurutnya, beberapa langkah diambil dengan mengenal pasti lokasi terlibat serta mengkaji langkah sesuai selain meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu tersebut.

Antara spesies ikan bukan spesies tempatan yang dikesan ialah baung ekor merah.