‘Syahid mulia di dunia, hidup di sisi ALLAH SWT’ - Mujahid

Iklan
Ismail Haniyeh.

SHAH ALAM - Pemergian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh baru-baru ini tidak akan melemahkan semangat perjuangan Palestin, sebaliknya membuatkan rakyat di negara itu lebih kental dan penentangan terhadap Israel semakin meningkat.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, sejarah membuktikan bahawa golongan yang gugur atau syahid seperti Abdul Aziz Rantisi, Ahmad Yassin, Yasser Arafat, Izzudin Qassam, Qadi Amin al-Husseini dan lain-lain tidak menjadikan perjuangan Palestin merosot.

Mujahid Yusof. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kemuliaan Haniyeh ialah setiap helaan nafas, masa dan kekuatannya diberikan semata-mata mahu melihat pembebasan Palestin, bahkan masih mampu tersenyum apabila anaknya meninggal dunia beberapa minggu sebelum.

"Mereka yang mati syahid disaksikan kemuliaannya walaupun ketika hidup dituduh sebagai pengganas dan pembunuh. Bagaimana ratusan ribu manusia memberikan penghormatan kepada Haniyeh adalah bukti kebenaran ALLAH SWT.

Iklan

"Bukan sahaja kemuliaan kepada Haniyeh, kerajaan Qatar juga memuliakan mereka yang datang untuk memberi penghormatan buat beliau,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Pada Rabu lalu, media melaporkan Haniyeh dan seorang pengawal peribadi terkorban dalam serangan di ibu kota Iran iaitu Teheran apabila kediamannya digempur rejim Israel.

Iklan

Jenazah pemimpin tersebut dikebumikan di tanah perkuburan di Lusail, Doha selepas disolatkan di Masjid Imam Muhammad Abdul Wahhab.

Mujahid turut memberitahu, Haniyeh mula memimpin sayap politik sejak 2017 dan pernah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Palestin sekitar 2007 hingga 2014.

Bagaimanapun, jelas beliau, kuasanya terhad di Gaza kerana pihak antarabangsa tidak mengiktiraf kemenangan Hamas dan meletakkan organisasi tersebut dalam senarai nama pengganas.

"Namun, Harakah Muqawamah Islamiyah (Hamas) menjadi tumpuan disebabkan pengaruh yang dinikmatinya untuk sebarang rundingan dan keputusan penting di rantau bergolak ini.

"Kemunculan Hamas mencetuskan kebangkitan baharu, sayap ketenteraannya al-Qassam dilihat sebagai pejuang Palestin sebenar dalam operasi tentera dan di saat inilah nama Hamas menjadi sebutan di bibir rakyat khususnya Gaza.

"Kebangkitan Intifadhah dicetuskan oleh Syeikh Ahmad Yassin memberi kelebihan kepada Hamas di peringkat rakyat umum termasuk aktiviti kebajikannya yang meluas,” ujar ahli Dewan Negara terbabit.