Dua lelaki bakar kenderaan diburu

Iklan
Gambar hiasan. Foto 123RF

LUMUT - Polis mengesan dua lelaki dipercayai ahli sindiket along yang melakukan khianat dengan membakar sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux di sebuah rumah di Ayer Tawar dekat Manjung, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, kejadian sekitar jam 4.45 pagi itu berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Iklan
Iklan

"Semakan CCTV mendapati dua suspek memakai pelitup muka berjalan ke arah rumah mangsa dan melempar nota ugutan bersama satu plastik mengandungi cecair bahan bakar.

"Salah seorang suspek telah membaling satu bom petrol (molotov cocktail) ke arah belakang kenderaan tersebut menyebabkan kebakaran sebelum melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, kejadian itu disyaki berpunca daripada tindakan salah seorang ahli keluarga mangsa yang membuat pinjaman tidak berlesen.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Iklan

Mohamed Nordin berkata, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung telah membuka 16 kertas siasatan berkaitan kes khianat simbah cat dan api.

Mohamed Nordin

"Sebanyak enam tangkapan setakat ini manakala Bahagian Siasatan Jenayah Komersial telah membuka empat kertas siasatan berkaitan peminjam wang tidak berlesen membabitkan lima tangkapan.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terjebak dengan pinjaman wang tidak berlesen bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222 bagi membantu siasatan.