Selangor FC ke final Piala FA

Iklan
Pemain Selangor FC meraikan jaringan ketika menentang Terengganu FC pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Pembandaran Petaling Jaya malam ini. Foto Bernama

SELANGOR FC melakar kebangkitan untuk mara ke perlawanan akhir Piala FA selepas menumpaskan Terengganu FC (TFC) menerusi agregat 6-4 aksi separuh akhir kedua pada Sabtu.

Selepas kekalahan 2-3 dalam separuh akhir pertama di Kuala Terengganu, Selangor tampil dengan permainan lebih baik untuk menang aksi kedua 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Iklan
Iklan

Turut mencuri tumpuan penampilan Faisal Halim buat kali pertama yang disenaraikan di bangku simpanan selepas berehat panjang akibat menjadi mangsa simbahan asid pada Mei lalu.

Kehadiran Faisal yang juga dikenali sebagai Mickey itu nyata menyuntik semangat kebangkitan rakan sepasukan yang menyaksikan pertahanan Selangor FC, Safuwan Baharudin muncul wira dengan jaringan hatrik.

Iklan

Skuad Gergasi Merah itu hanya memerlukan tiga minit untuk memadam defisit jaringan dimiliki TFC apabila Safuwan menanduk masuk gol pertama pasukan hasil sepakan penjuru diambil oleh Yohandry Orozco.

Situasi sama berulang untuk gol kedua pada minit keenam juga menerusi Safuwan yang sekali lagi melompat tinggi untuk menanduk hantaran sepakan penjuru Orozco untuk meletakkan Selangor di hadapan.

Iklan

Namun, TFC tidak mengalah apabila melancarkan asakan demi asakan ke kubu tuan rumah memaksa Selangor untuk bertahan.

Skuad Pantai Timur itu berjaya mendapatkan gol pada minit ke-22 menerusi percubaan Ismaheel Akinade yang terbias pertahanan Selangor, Fazly Mazlan untuk mengikat kedudukan agregat 4-4.

Bersambung babak kedua, Safuwan yang tidak dikawal pertahanan TFC meletakkan Selangor sekali lagi dihadapan pada minit ke-54 apabila tenang menyudahkan hantaran Nooa Laine sebelum Reziq Bani Hani melengkapkan kemenangan menerusi gol pada penghujung masa kecederaan.

Lawan Selangor di perlawanan akhir akan ditentukan sama ada Johor Darul Ta'zim (JDT) atau Kedah Darul Aman FC dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.