SANDAKAN - Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya merempuh sebatang pokok dalam kejadian di Batu 3 Jalan Utara Sandakan, di sini, awal pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, siasatan awal mendapati, mangsa memandu bersendirian dari Batu 4 menuju ke pusat bandar.
"Sebaik tiba di lokasi, pacuan empat roda yang dipandunya telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan seterusnya merempuh sebatang pokok di pembahagi jalan.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hosputal Duchess of Kent (HDOK) untuk tujuan bedah siasat.
"Kes disiasat dibawah Sek 41 (1) Akta Pengangkutan 1987," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh satu kilometer.
"Kemalangan melibatkan kenderaan jenis Isuzu D-Max yang melanggar sebatang pokok dan terdapay seorang mangsa terlibat berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 4.20 pagi setelah pasukan bomba memastikan keadaan lokasi selamat," katanya.