KULAI - Siapa juga calon yang bakal diumumkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota kelak, perlu memiliki ciri WALI iaitu boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable).
Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, masih terlalu awal untuk mengumumkan perkara tersebut apatah lagi semua pihak dalam keadaan terkejut dan berdukacita.
"Apa pun, terserah kepada pucuk pimpinan. Tak ada isu kuota apa-apa kerana yang penting calon tu boleh menang, diterima, disukai tapi sekarang ni kita masih dukacita dengan kehilangan wirawati, tokoh wanita Johor yang kita segani...banyak jasanya bukan sahaja di DUN Mahkota tetapi juga di DUN Penawar sebelum ini.
"Bagaimanapun, saya tidak ada kedudukan menyatakan ada PRK atau tidak, itu kena tanya Speaker. Kita ambil tempoh bertenang dan kalau diisytiharkan kekosongan kerusi, ada PRK, kita akan umumkan calon,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian setelah menyempurnakan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kulai di Dewan Raya Putra, Bandar Putra di sini, pada Sabtu.
Mengulas mengenai ketiadaan DAP bagi membantu calon BN pada PRK Nenggiri, Asyraf Wajdi berkata, parti berkenaan tetap membantu walaupun bukan daripada segi fizikal.
Katanya, biarpun tidak memiliki cawangan di DUN berkenaan, namun mereka ada pengaruh kuat dan ia sudah dilihat membantu kita.
"Seperti yang disebut oleh Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) kepada saya, mereka akan bantu. Tiada satu undi pun yang kita anggap tidak penting.
"Selain itu kerjasama daripada semua parti komponen juga dilihat penting. Kita tak boleh ambil mudah dan kita juga alu-alukan kerjasama daripada semua parti komponen,” katanya.