PRK Nenggiri: Pas izin Mohd Rizwadi jadi calon umpama kakak bantu adik

Iklan
Dari kiri: Takiyuddin, Mohd Rizwadi

GUA MUSANG - Tindakan Pas mengizinkan bekas Timbalan Ketua Pemuda Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri umpama seorang kakak membantu adik.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hubungan mereka dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cukup akrab seperti kakak dan adik dalam keluarga Perikatan Nasional (PN).

Iklan
Iklan

"Geger (bising) pulok bakpo calon Bersatu orang Pas. Saya nak cerita mudahnya beginilah... Pas dengan Bersatu ni ibarat dua beradik.

"Dua beradik dalam keluarga yang dipanggil Perikatan Nasional. Satu hari adik minta kakak yang ramai anak jantan (anak lelaki) sebagai anak angkat untuk mengerjakan kebun getah yang luas. Maka kakak tak ada masalah," katanya semasa berceramah di Bertam di sini pada Sabtu malam.

Iklan

Menurut beliau, Mohd Rizwadi layak untuk mewakili Bersatu dan Pas mengizinkan demi kepentingan PN.

PRK DUN Nenggiri 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PN.

Iklan

BN diwakili oleh Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sementara PN menamakan Mohd Rizwadi sebagai calon.

Sebelum itu, pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff