SSM papar 64 syarikat berhad dibenarkan kutip sumbangan

Iklan
Senarai 64 SBMJ yang mendapat kelulusan daripada menteri atau pendaftar telah dipaparkan di portal SSM.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memaparkan sebanyak 64 Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) telah mendapat kelulusan daripada menteri atau pendaftar untuk mengutip sumbangan daripada orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, paparan berkenaan merupakan inisiatif bagi memudahkan orang awam menyemak status terkini SBMJ yang berdaftar dan diberi kelulusan untuk melaksanakan kutipan sumbangan.

Iklan
Iklan

"Senarai SBMJ yang dikongsikan di portal SSM boleh membantu orang ramai membuat pertimbangan yang berinformasi sebelum ambil keputusan untuk memberi sumbangan kepada mana-mana SBMJ.

"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SSM membantu orang awam membuat keputusan dengan mengetahui bahawa sumbangan mereka akan disalurkan kepada entiti yang mematuhi peruntukan undang-undang ditadbir SSM,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Nor Azimah memberitahu, adalah menjadi satu kesalahan jika SBMJ mengumpul sumbangan tanpa kebenaran daripada menteri atau pendaftar.

Tambahnya, semua SBMJ perlu mematuhi Perenggan 23(d) dalam Garis Panduan SBMJ yang melarang pengumpulan sumbangan tanpa kebenaran dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 20E Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001.

Iklan

"Jika seseorang melanggar peraturan ini, suruhanjaya atau pendaftar boleh mengambil tindakan pentadbiran.

"Ia termasuk mengarahkan pematuhan, mengenakan penalti pentadbiran tidak melebihi RM500,000 atau mengambil langkah untuk meremedi pelanggaran dan membuat restitusi kepada pihak yang terkilan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sebanyak 2,202 SBMJ berdaftar dengan SSM dengan status ‘existing’ setakat 30 Jun 2024.

SBMJ merupakan syarikat awam yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 tanpa modal saham dan beroperasi bukan untuk mendapatkan keuntungan.

Liabiliti anggota sesebuah SBMJ terhad kepada amaun yang diaku janji oleh mereka untuk menyumbang jika syarikat itu digulungkan.

SBMJ perlu menggunakan keuntungan untuk mencapai atau mempromosikan objektifnya dan tidak dibenarkan membayar dividen kepada ahli dan dalam kes pembubaran.