Anak datang stadium, sangka Nidzam akan dipecat

Iklan
Mohd Nidzam Jamil Foto Fail

KEJAYAAN Selangor FC mara ke final Piala FA 2024/2025 dengan menyingkirkan Terengganu FC menerusi agregat 6-4, dapat mengukuhkan semula keyakinan peminat Gergasi Merah terhadap pengendali skuad itu, Mohd Nidzam Jamil.

Ini kerana kemampuan pengendali berusia 44 tahun itu yang lebih mesra disapa Nidzam mula dipersoalkan peminat, malah timbul persepsi beliau bukan jurulatih tepat untuk membimbing Selangor susulan beberapa keputusan yang dicatat pasukan baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Nidzam berkata, media sosialnya juga diserang dalam tempoh dua hingga tiga minggu kebelakangan ini, selain anaknya turut dimaklumkan oleh kawan-kawan di sekolah bahawa beliau akan dipecat.

"Hari ini (malam tadi) sebagai jurulatih tempatan saya cuma nak beri yang terbaik untuk pasukan kesayangan semua, dengan pengetahuan dan latar belakang saya sudah tentu saya nak pasukan ini ke final. Sudah tentu (akan ada) persepsi, saya rasa dalam dua-tiga minggu saya tak boleh kawal.

Iklan

Pada pertembungan itu, Selangor menang 4-1 menerusi hatrik Ketua Pasukan Muhammad Safuwan Baharudin dan jaringan penyerang gantian Reziq Mohammed Saleh Banihani, sementara gol sagu hati Terengganu dijaringkan penyerang import dari Nigeria Ismaheel Akinade.

Bekas pemain Selangor berkata, beliau sedar jangkaan dan keinginan tinggi yang datang bersama jawatan di Selangor, sejak hari pertama memulakan tugasnya.

Iklan

Nidzam berkata, dia melihat banyak perkara sepanjang berkhidmat di Selangor ketika membantu bekas Ketua Jurulatih Michael Feichtenbeiner, Karsten Neitzel, Tan Cheng Hoe dan mendiang B. Sathianathan sekali gus membantunya menangkis perkara yang boleh menjejaskan tumpuannya.

"Saya tak terkejut pun tentang persepsi-persepi begini, di Malaysia jika awak tak dapat keputusan (positif) persepsi akan meletup tetapi bila dapat keputusan (positif) ia akan senyap kejap, saya harap senyap (kali) ini lama sikit,” katanya secara bersahaja.

Sementara itu, Nidzam mengakui amat penting untuk Selangor menjuarai Piala FA musim ini.

"Penting... penting untuk membina keyakinan, untuk mendapatkan pengiktirafan, kita bercakap mengenai Selangor nak ke depan tapi kita tiada piala,” katanya.

Selangor, juara Piala FA lima kali, bakal membuat perhitungan dengan pemenang satu lagi aksi separuh akhir malam ini, antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada final yang dijadualkan berlangsung 24 Ogos, di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Selangor kini melalui kemarau kejuaraan, selepas kali terakhir menikmati kejayaan dengan memenangi Piala Malaysia pada 2015.

Kali terakhir Selangor menjuarai Piala FA ialah tahun 2009, selepas menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan penalti dan kali terakhir mara ke final pada edisi 2018 yang menyaksikan mereka tewas 0-2 di tangan Pahang. - Bernama