AUSTRALIA ialah sebuah negara besar yang terkenal dengan tarikan keindahan alam semula jadinya.
Golden Outback di Australia Barat misalnya, adalah antara destinasi yang menyajikan pelbagai keindahan mempesonakan. Terdapat beberapa lokasi menarik di Golden Outback untuk disinggahi. Bermula dari tempat penginapan, pantai nan indah, selain bermacam-macam tarikan seperti landskap bunga liarnya.
Semua itu pasti mengundang pengalaman kembara yang cukup hebat apabila dapat mengunjungi destinasi yang mengambil masa lebih kurang lima jam penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Perth. Berikut adalah antara landskap Golden Outback yang dikongsikan Westernaustralia.com.
Nikmatilah momen menarik yang ada di sana.
1. Wave Rock
Perjalanan lebih kurang empat jam dari Perth untuk tiba di situ bagaikan tidak terasa tatkala dihidangkan pemandangan landskap menghijau yang memukau. Struktur Wave Rock yang setinggi 15 meter (m) dikatakan mengambil masa selama 2,700 juta tahun untuk terbentuk.
Di situ juga ditemui 'ombak terbesar' di Australia yang terletak paling jauh dari mana-mana lautan. Ia merupakan tebing granit sepanjang 110m yang kelihatan seakan-akan gulungan ombak besar yang akan runtuh.
Itulah lokasi bergambar dramatik yang sangat popular dalam kalangan pelancong jika ke Australia Barat.
2. Lucky Bay
Terletak lebih kurang lima jam perjalanan dari Wave Rock, Lucky Bay ibarat permata di antara jalur pantai yang indah di Taman Negara Cape Le Grand. Pantainya berpasir putih, air membiru manakala pemandangannya sungguh mendamaikan. Sekiranya bernasib baik, akan kelihatan sekumpulan kanggaru bermain dan berlegar-berlegar di kawasan itu.
Jangan lepaskan peluang untuk mengisi perut di Lucky Bean Café yang terletak betul-betul di Lucky Bay.
Nikmatilah kopi espresso, jus, mufin dan pelbagai makanan ringan lain termasuk aiskrim.
3. Tasik Hillier
Selepas berhenti di Lucky Bay, ambil sedikit masa untuk singgah dan melihat sebuah tasik yang unik kerana airnya berwarna merah jambu.
Tasik berkenaan terletak di lokasi terpencil kira-kira 11 kilometer jauhnya dari pantai Taman Negara Cape Arid dan boleh diakses menggunakan kapal terbang kecil atau bot. Panorama Tasik Hillier yang digelar 'Bubblegum-pink' itu hanya dipisahkan dengan jalur hijau flora dan jalur putih pasir yang tipis.
Pastinya bidikan foto tampak sempurna jika dikongsi di media sosial dek keunikan warna air semula jadinya itu.
4. Taman Negara Fitzgerald
Sebaik kembali ke darat, teruslah berkunjung ke Taman Negara Fitzgerald. Taman negara tersebut telah disenaraikan sebagai Rizab Biosfre Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan merupakan taman kebangsaan tunggal terbesar di Australia Barat.
Taman Negara Fitzgerald merupakan salah satu daripada lokasi botani yang paling banyak tanaman berbunga dan sangat sesuai untuk pencinta alam sekitar.
Ia mempunyai kira-kira 1,800 spesies tumbuhan berbunga, termasuklah Royal Hakea, Qualup Bell, Sepulcralis, Weeping Gum, Pincushion Hakea, Woolly Banksia, dan Bottlebrush.
5. Tasik Ballard
Dari Taman Negara Fitzgerald, perjalanan selama 10 jam diperlukan untuk ke Tasik Ballard bagi melihat rekaan seorang artis yang merupakan pemenang Hadiah Turner, iaitu Antony Gormley.
Landskap di sana menawarkan pameran menakjubkan melibatkan 51 buah patung logam di sepanjang Shimmering Salt Lake.
Terokai tapak pameran berkenaan untuk melihat semua arca yang berbeza dari segi bentuk dan rupa.
Bagi yang teruja ke sana, Westernaustralia.com mencadangkan supaya rancanglah percutian ke Australia Barat antara bulan sejuk Mei hingga Oktober. Permukaan tasiknya yang lebih solid menjanjikan lokasi lebih mudah untuk diterokai.
Maklumat lanjut mengenai Australia Barat, lawati laman web www.westernaustralia.com atau Facebook https://www.facebook.com/ExtraordinaryWesternAustralia.