Jangan putus asa Azeem - MB Perak

Iklan
Azeem ketika beraksi dalam acara 100 Meter Lelaki pusingan awal pada Sukan Olimpik Paris 2024, di Arena Stade De France. Foto Bernama

PELARI pecut negara kelahiran Perak, Muhammad Azeem Mohd Fahmi digesa tidak berputus asa di sebalik kegagalan untuk ke peringkat seterusnya dalam acara 100 meter temasya Olimpik pada Sabtu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha tanpa henti pasti akan membuahkan hasil kejayaan yang diinginkan.

Iklan
Iklan

"Kita kena lari hingga ke garisan penamat walau apa keadaan sekali pun, jangan putus asa jangan hilang semangat jangan hilang arah.

"Kita mesti lari hingga ke garisan penamat jadi kita akan dapat kejayaan," katanya kepada pemberita.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak Belang Tarung Tiga Warna Kontinjen Sukma Negeri Perak 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Ahad.

Saarani (berdiri, tengah) bersama atlet Sukma Perak selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak Belang Tarung Tiga Warna Kontinjen Sukma Negeri Perak 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Ahad.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merangkap Ketua Kontinjen Sukma Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan beberapa tetamu kehormat yang lain.

Iklan

Pada Sabtu, impian untuk melihat pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi melangkah jauh dalam temasya Olimpik kali ini tidak kesampaian apabila terkandas di saringan kedua, pusingan pertama acara 100 meter.

Azeem mengakhiri saingan tersebut di kedudukan terakhir dengan catatan masa 10.45 saat (s) dalam aksi yang berlangsung di Stade de France.

Kegagalan untuk bermula dengan baik pada permulaan larian menjejaskan persembahannya sekali gus terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada acara tersebut.

Saringan tersebut dimenangi pelari Kenya, Ferdinand Omanyala yang mencatat 10.08s diikuti atlet Itali, Chituru Ali di tempat kedua (10.12s) dan Pelari Jerman, Joshua Hartmann (10.16s) dengan hanya tiga pelari teratas layak ke pusingan seterusnya.

Sebelum itu, pelari berusia 20 tahun layak ke pusingan pertama selepas berada di kedudukan kedua dengan catatan 10.42s.

Pelari kelahiran Teluk Intan tersebut beraksi dalam acara riben biru di Paris 2024 atas tiket wild card oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).