KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan sesetengah wakil rakyat dari Sabah supaya tidak bermain sentimen dalam isu perbelanjaan RM16 bilion yang diperuntukan kepada Sabah.
Jelas beliau, perbincangan telah dilakukan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang diwarisi di Sabah.
"Saya tegaskan jangan main sentimen... Saya, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri pergi ke Pejabat Ketua Menteri, panggil menteri-menteri Sabah, Datuk Masidi Manjun (Menteri Kewangan Sabah) pun ada, kemudian bincang bagaimana nak selesaikan masalah.
"Pertama kemiskinan tegar, kedua air termasuk banjir, bekalan elektrik, kita dengar, kita tahu ada yang gelap sana sini, ada jalan lubang sana sini, ingat baru berlaku tahun ini? Sudah kita warisi dan cuba kita selesaikan dan belanjanya besar," katanya.
Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata demikian semasa menyampaikan Pidato Perdana di Himpunan Perdana Rakyat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad.
Anwar turut menyifatkan tindakan segelintir pemimpin politik yang seolah-olah hanya mereka saja yang menjaga kepentingan rakyat selama ini.
"Saya faham kalau di Semenanjung tak habis-habis maki soal kaum, soal agama, kita ini tidak melayu, kita ini tidak Islam, apa dia ingat muka dia saja Melayu dan Islam, kita tidak?
"Ini satu perangai yang buruk dalam politik kita. Di Sabah ada juga, kami saja cinta Sabah, orang lain tidak.
"Apa dia ingat benar sudah wakil Sabah sebab itu saya tanya dulu, kamu pernah berkuasa," katanya.
Sehubungan itu, Anwar meminta wakil rakyat di negeri ini supaya memberi ruang kepada kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.
"Beri ruang, negeri ini punyai ramai rakyat yang susah, masih belum ada kerja, jalannya berlubang-lubang, jadi saya dan pimpinan nak selesaikan ini.
"Bila saya umumkan dalam Pesta Kaamatan, belanja satu tahun mencecah RM16 bilion, ada wakil rakyat, ahli parlimen dari kerajaan Perpaduan yang mempertikaikan.
"Kamu ahli parlimen tahu baca buku akaun, kalau tak baca kamu tak layak jadi ahli parlimen," bidasnya kepada pihak tertentu yang sebelum ini lantang bersuara mengenai peruntukan yang diberikan kepada Sabah.