Graduan mahir 5 bahasa bantu negara capai hab pendidikan tinggi global

Iklan
Mohammad Shatar (tengah) menerima cenderamata daripada Arham (kanan).

KOTA BHARU - Malaysia perlu melahirkan lebih ramai graduan mahir berkomunikasi menggunakan empat hingga lima bahasa untuk membantu mempercepatkan proses negara mencapai hab pendidikan tinggi global pada tahun 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, peningkatan nilai dan kualiti graduan tempatan tersebut penting bagi menjenamakan institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini seterusnya dipandang oleh masyarakat dunia.

Iklan
Iklan

"Fokus kita memberikan tumpuan bagi menarik pelajar-pelajar dari negera-negara Timur Tengah dan Asia seperti China, India serta sebagainya.

"Bagi memastikan negara-negara tersebut menghantar pelajar-pelajar ke Malaysia, kita mesti ada satu tarikan, itulah yang sedang kita usahakan.

Iklan

"Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan jenama graduan di negara ini mempunyai tahap kualiti yang sama dengan graduan antarabangsa yang lain,” katanya.

Para akademik yang hadir pada Bicara Akademia: The Survival of Teaching And Learning of Higher Education in The Future di UMK, Kota Bharu.
Beliau berkata demikian selepas program Bicara Akademia: The Survival of Teaching And Learning of Higher Education in The Future di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, pada Ahad.

Iklan

Turut hadir Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMK, Profesor Ts Dr Arham Abdullah.

Menurut Mohammad Shatar, dari segi keseluruhan kualiti pendidikan tinggi Malaysia memang tidak pernah dipertikaikan oleh semua badan dunia, hanya perlu nilai tambah antaranya kemampuan komunikasi dalam pelbagai bahasa tersebut.

Katanya, perkara berkait inovasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) akan datang dan pergi namun kerajaan tetap memberi perhatian selain tidak pernah meninggalkan semua teknologi dan inovasi tersebut misalnya dengan penubuhan Fakulti AI yang pertama di Malaysia diterajui oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

"Teknologi sebagai medium atau alat sahaja, yang lebih penting adalah pengisian dan kecemerlangan dalam setiap graduan.

"Cuba kita bayangkan semua pelajar-pelajar yang keluar universiti Malaysia awam ataupun swasta, boleh menguasai empat hingga lima bahasa, sudah pasti universiti kita menjadi kegilaan dunia untuk menghantar pelajar mereka ke Malaysia sebab graduan Malaysia boleh menguasai banyak bahasa,” katanya.

Beliau mencadangkan selain mahir bahasa Melayu dan Inggeris graduan boleh mempelajari bahasa lain antaranya Mandarin, Tamil, Arab, Korea dan Jepun.