PUTRAJAYA - Daftar Risiko Kebangsaan (NRR) akan dibangunkan bagi memahami risiko bencana serta digunakan sebagai instrumen dalam proses membuat keputusan seperti projek pembangunan, program mitigasi bencana dan operasi menyelamat di negara ini.
Daftar berkenaan bakal mengandungi maklumat antaranya berkaitan trend kejadian bencana, jumlah penduduk dan kegiatan ekonomi berisiko seperti kilang kimia bagi melihat kesan sekiranya berlaku bencana di sesuatu kawasan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, NRR akan dibangunkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) selaras dengan keperluan antarabangsa bagi memahami risiko bencana.
"Kita nak tahu bagaimana memahami risiko bencana dan kita buatkan satu dokumen NRR untuk kita guna pakai instrumen ini dalam proses membuat keputusan, selain kita akan memperkasa Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) yang merupakan antara strategi dalam pemerkasaan Nadma sebagai pusat rujukan bencana," katanya dalam temu bual khas bersama Bernama dan RTM berhubung hala tuju Nadma bagi tahun 2020 di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Wan Azizah yang juga menteri bertanggungjawab kepada Nadma berkata, selain pemerkasaan Nadma, agensi itu turut menggariskan lapan lagi fokus untuk dilaksana pada tahun ini termasuk pengurangan risiko bencana sebagai teras pembangunan negara.
Beliau berkata, kerajaan akan memastikan dasar berkaitan bencana diambil kira dalam penggubalan dasar negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 dan dasar di peringkat kementerian dan jabatan.
Menurutnya, Nadma juga akan memberi tumpuan kepada menyelaras projek pencegahan dan peredaan yang bersifat kos rendah serta berimpak tinggi dengan kerjasama agensi kerajaan di semua peringkat.
Katanya, Nadma akan turut memberi fokus kepada integrasi sains dan teknologi dalam pengurusan bencana; mengukuhkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART); pengurusan bencana yang inklusif dengan mengambil kira golongan berkeperluan khas; pengupayaan komuniti dalam pengurusan bencana; pemantapan pengurusan logistik serta meningkatkan keterlibatan Nadma di peringkat antarabangsa.
Wan Azizah berkata, penggunaan dron oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagai alat bantuan menyelamat dalam pengurusan bencana akan diperluaskan ke seluruh negara.
Beliau berkata, setakat ini, hanya tiga negeri iaitu Perak, Johor dan Pulau Pinang, masing-masing mempunyai dua unit dron.
"Dron ini boleh digunakan misalnya kalau sesiapa berada di laut (perlu diselamatkan) jadi dron akan hantar jaket keselamatan dengan cepat kepada mangsa," katanya menambah dron berkenaan boleh mengangkut berat antara 5 kilogram (kg) hingga 25kg.
Selain itu, Dr Wan Azizah turut memaklumkan Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (Pulapas) akan siap dibina dan diserahkan kepada APM pada April ini yang bakal meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan APM.
Beliau berkata, kursus pertama Pulapas akan dilaksana mulai Jun depan.
"Penganjuran kursus pada tahun 2020 juga akan melibatkan negara luar iaitu Qatar, Jordan, Bosnia dan Pakistan yang merupakan negara anggota dalam Pertubuhan Pertahanan Awam Antarabangsa (ICDO) sebagai projek perintis," katanya. - Bernama