KOTA BHARU - Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) terus memantau institusi pengajian di negara ini yang menawarkan program dan memberi kelulusan akademik palsu.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, wujud penipuan membabitkan kelulusan dari kolej atau institusi pengajian tinggi swasta yang mendakwa memiliki akreditasi MQA, bagaimanapun tidak mendedahkan jumlahnya.
Kata beliau, MQA secara umum membuat semakan terhadap semua kelulusan akademik dari institusi pengajian tempatan mahupun antarabangsa.
"Kami ada kaedah untuk membuat pengesahan, kalau datang daripada luar negara, kita boleh berhubung dengan jaringan antarabangsa dan badan-badan akreditasi dunia.
"Kami akan meminta mereka membuat semakan, jadi boleh tahu sama ada kelulusan akademik itu sah atau tidak,” katanya selepas program Bicara Akademia: The Survival of Teaching And Learning of Higher Education in The Future di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, pada Ahad.
Turut hadir Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMK, Profesor Ts Dr Arham Abdullah.
Mohammad Shatar dalam pada itu menyarankan orang ramai supaya turut sama melakukan semakan senarai institusi pengajian tempatan yang mendapat kelulusan MQA menerusi laman sesawang rasmi agensi itu atau email untuk dijawab pihaknya.
Kata beliau, masyarakat harus berwaspada dengan tawaran-tawaran ‘pelik’ yang terhidang bertujuan menipu orang ramai.
"Kami menasihatkan masyarakat supaya jangan terlalu cepat percaya dan semak dengan MQA terlebih dahulu,” katanya.
Tambah Mohammad Shatar, pihak institusi pendidikan yang dikesan melanggar peraturan dan menipu kelulusan akademik akan diambil tindakan undang-undang mengikut Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555].
"Lesen mereka boleh ditarik balik atau dikenakan saman di bawah bidang kuasa Jabatan Pengajian Tinggi.
"MQA bertanggungjawab menyemak kesahihan kelayakan akademik yang dikeluarkan dan akan melaporkan kepada pihak berkenaan,” katanya.