'Kalau hendak seronok di PAU kena menang di Nenggiri' - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid (tengah) ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja, hari ini. - Foto: Bernama
KLANG - Kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan amat penting kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia penting bagi Kerajaan Perpaduan menambah bilangan kerusi di negeri berkenaan.

"PRK (Nenggiri) yang akan diadakan pada 17 Ogos ini sangat penting kepada UMNO dan BN. Penting bukan hanya di Kelantan hanya ada dua batu nisan (iaitu dua kerusi dimiliki Kerajaan Perpaduan).

"Kita terima hakikat (dan) Insya-ALLAH rezeki tidak pernah salah alamat. Ada pengajaran yang akan kita pelajari daripada politik.

"Insya-ALLAH selepas 17 hari bulan kita akan bertemu lagi dan kalau hendak seronok di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kena bagi menang di Neggiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja di salah sebuah hotel di Bukit Raja di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ketuanya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz merangkap Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

PRK DUN Nenggiri yang bakal berlangsung 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan Pas.

BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, sementara Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Mohd Rizwadi Ismail.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.

Pada pilihan raya negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.