GUA MUSANG - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sepatutnya lebih proaktif menguruskan isu bekalan air dan penyusutan tiga empangan di negeri berkenaan, kata Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Mengulas kenyataan Sanusi yang menyerahkan kepada ALLAH SWT untuk menurunkan hujan bagi memulihkan paras air di empangan terbabit, Mahdzir berkata, Sanusi perlu menyediakan pelan kontigensi lebih awal.
"Kalau kemarau sampai tahap kritikal, apa pelan yang patut kerajaan negeri buat... jadi, mesti ada rancangan jangka pendek dan jangka panjang berkaitan dengan bekalan air,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui semasa menyertai calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan menyantuni pengundi di Bertam Lama di sini hari ini.
Pada Khamis, paras air di Empangan Muda berbaki lapan peratus, Empangan Pedu (39.09 peratus) dan Empangan Ahning (81.80 peratus), dengan purata keseluruhan takungan air bagi ketiga-tiga empangan ialah 43.68 peratus.
Terdahulu, dalam satu program di Renok di sini hari ini, Sanusi berkata, penyusutan air empangan terbabit bagaimanapun, tidak memberi kesan kepada sektor pertanian di Kedah.
Mengulas mengenai perkara itu, Mahdzir mengingatkan Sanusi supaya memberi data dan statistik yang lebih tepat dan tidak memberi maklumat secara umum.
"Bekalan air ini ada dua, satu melibatkan pertanian dan satu lagi membabitkan domestik, jadi yang ini mesti ada kaedah dan pelan,” katanya. - Bernama