KLANG - Pentas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja di sini, pada Ahad mengukir detik bersejarah antara Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin apabila mereka memilih untuk berdamai.
Kedua-dua pemimpin politik berkenaan sebelum ini pernah didakwa mempunyai perselisihan faham tampil bersalaman dan berpelukan di hadapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan perwakilan yang hadir.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya meminta semua ahli akar umbi di UMNO Bahagian Kota Raja supaya memberi dokongan kepada Tengku Zafrul.
"Saya yakin, beliau bukan sahaja aset kepada Kota Raja tetapi Selangor dan Malaysia juga.
"Jagalah hubungan baik dengan Datuk Megat," katanya.
Sebaik selesai ucapannya itu, Ahmad Zahid meminta kedua-dua naik ke pentas dan bersalaman.
Pada 1 April lalu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Bendahari UMNO Selangor.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Tengku Zafrul berkata, keputusan itu diambil berikutan kebangkitan parti berkenaan di negeri itu dilihat hambar dan tidak sehaluan dengan tema di UMNO pusat.