KOTA BHARU - Kesepakatan dua negara, Malaysia dan Thailand untuk menyegerakan pembinaan jambatan kedua Sungai Golok-Rantau Panjang, Pasir Mas, antara lain pasti memberi impak positif kepada pendidikan tinggi dalam negara khususnya Kelantan.
Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (UMK), Profesor Ts Dr Arham Abdullah, berkata, kedua-dua negara sekian lama menjalin hubungan bukan sahaja dari segi ekonomi malah juga pendidikan menerusi penyelidikan pelbagai cabang ilmu.
Katanya, jambatan baharu tersebut dapat meningkatkan mobiliti pelajar dan staf dalam menjalani proses perkongsian bidang pengajian antara Malaysia dan Thailand.
"Keputusan ini sangat baik seperti jambatan baru yang ada di Singapura, Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang akan membantu penghijrahan pelajar, staf dan mengeratkan lagi hubungan penyelidikan antara institusi pendidikan negara ini dengan universiti di Selatan Thailand.
"Sekarang ni UMK ada banyak kerjasama dengan Universiti Prince of Songkla, Thailand, jadi dengan adanya perhubungan infrastruktur yang lebih baik ini akan mewujudkan lebih banyak lagi usahasama selepas ini,” katanya selepas Bicara Akademia: The Survival of Teaching And Learning of Higher Education in The Future di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, pada Ahad.
Menurutnya, beliau yakin kerajaan juga sudah memikirkan kesemua faktor dan manfaat termasuk terhadap pendidikan dalam negara atas keputusan mempercepatkan pembinaan jambatan itu.
Arham berkata, perkara tersebut juga diterima dengan sangat baik oleh pihaknya memandangkan UMK juga antara universiti yang menerima penuntut dari Thailand.
"Selain menerima penuntut Thailand, universiti juga melakukan hubungan dan berkongsi penyelidikan.
"Thailand hebat dari segi pertanian, di samping UMK juga ada Fakulti Industri Asas Tani dan impak kepada pendidikan akan lebih baik dengan perkongsian ini,” katanya.
Tambah beliau, sehingga 30 Jun lalu, UMK mempunyai 413 penuntut antarabangsa yang mengikuti pengajian doktor falsafah, ijazah, ijazah sarjana muda dan lain-lain di 11 fakulti pengajian dengan tujuh daripada mereka ialah penuntut dari Thailand.
Sebelum ini, akhbar melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Thailand, Srettha Thavisin bersetuju mempercepatkan pembinaan jambatan kedua terbabit sekali gus dijangka siap lebih awal pada 2026 berbanding 2027.
Keputusan diperoleh hasil pertemuan dan perbincangan semasa kedua-dua pemimpin itu dalam Lawatan Kerja Perdana Menteri ke Rantau Panjang, Pasir Mas dan Sungai Golok, Narathiwat, Thailand, pada Sabtu.