KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedia membawa pulang sebahagian wanita dan kanak-kanak di Palestin yang cedera atau sakit untuk mendapatkan rawatan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya sudah berurusan dengan Presiden Mesir, Abdel Fatah el-Sisi agar membenarkan perkara tersebut dilaksanakan.
Menurutnya, menjadi tanggungjawab beliau dan rakyat untuk bangkit membela serta memperjuangkan pembebasan Palestin sepertimana diharapkan Ketua Biro Politik Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh sebelum meninggal dunia.
"Kalau orang itu (Ismail Haniyeh) sanggup berkorban nyawa dan jika 40,000 rakyat sudah meninggal dunia, apalah salahnya kita ‘memeluk’ beliau serta menyatakan bahawa Malaysia menyokong perjuangan Palestin.
"Saya tak berupaya bicara lebih daripada itu, tetapi Insya-ALLAH kita akan lakukan sedaya upaya dan suarakan pandangan tidak kira di hadapan sesiapapun.
"Kita bantu yang sakit sama ada di rawat di sana (Palestin) atau dibawa ke Malaysia, kita akan teruskan tanpa tolak ansur,” katanya ketika menyampaikan pidato semasa kemuncak Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena Bukit Jalil di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Muhammad Sabu; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong serta ramai lagi.
Tujuan himpunan berkenaan diadakan antara lain bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Haniyeh sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis terhadap bumi Palestin.
Antara program yang diselitkan sepanjang himpunan berlangsung adalah Pidato Solidariti Palestin, solat Maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas, persembahan nasyid dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.
Anwar juga memaklumkan, beliau telah menghubungi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, Raja Bahrain Sheikh Hamad Isa Al Khalifa malah Raja Arab Saudi iaitu Raja Salman untuk terus konsisten dalam memberikan kerjasama dan bantuan kepada Palestin.
"Diharapkan semuanya jangan henti berbicara tentang Palestin, jangan berhenti membantu dan bersedekah untuk meringankan beban rakan-rakan kita di sana.
"Saya mahu Malaysia diletakkan di dalam peta sejarah sebagai negara yang paling konsisten dan bersungguh-sungguh memperjuangan nasib rakyat Palestin,” ujar Ahli Parlimen Tambun terbabit.