JIKA dahulu, mana-mana pelajar yang menghisap rokok di sekolah, guru sudah pasti dapat mengenal pasti dengan mudah.
Ini kerana baunya yang melekat kuat di tangan atau dan baju. Namun kini dengan munculnya rokok elektronik atau vape, agak sukar untuk mencari kesalahan tersebut.
Apatah lagi pada masa ini, vape terdapat dalam pelbagai bentuk dan saiz. Sehinggakan jika hanya dengan sekali pandang ternyata agak sukar untuk membezakan dengan alat tulis yang lain.
Disebabkan itulah, terdapat beberapa kes pelajar dikenakan tindakan tatatertib kerana menghisap vape di sekolah. Lokasi popular sudah pastilah di tandas ataupun di belakang bangunan yang terpencil.
Hukumannya sama seperti dahulu iaitu diberi amaran, dan jika sudah beberapa kali mungkin boleh digantung sekolah, malah ada yang dipindahkan sekolah atas persetujuan ibu bapa.
Namun yang paling penting adalah tahukah mereka bahawa dos vape yang berlebihan boleh membawa kesan buruk terhadap tubuh dan boleh membawa maut?
Mengambil contoh seperti yang berlaku kepada seorang pelajar Tingkatan Empat di Kemaman, Terengganu yang mengalami sawan dan tidak sedarkan diri dipercayai selepas mengambil magic mushrooms.
Memetik laporan akhbar ini minggu lalu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Safiya Amaran berkata, terdapat pelbagai jenis bahan perisa di pasaran yang difikirkan tidak berbahaya namun terdapat kajian yang jelas menunjukkan cecair vape mampu membunuh sel paru-paru, hati, otak dan lapisan kulit.
"Ramai tidak tahu yang kandungan nikotin di dalam rokok elektronik (0-36mg) boleh jadi lebih tinggi berbanding rokok tembakau (10-12mg),” katanya kepada Sinar Harian.
Fakta ini sangat menakutkan dan perlu diuar-uarkan. Jika vape boleh membawa maut kepada orang dewasa, apatah lagi kesannya terhadap golongan muda.
Oleh itu, tindakan memperketat pengawalseliaan sistem jualan vape termasuk memantau kandungan dalam cecair vape yang terkandung dalam Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) harus disokong dan digerakkan kempennya bermula dari rumah.
Ya, pesanan ini ditujukan khasnya kepada golongan bapa yang kaki vape. Ini kerana anda menjadi suri teladan kepada anak-anak di rumah.
Selain itu, semua pihak harus memainkan peranan membantu Kementerian Kesihatan membentuk rakyat Malaysia ke arah hidup lebih sihat.