PASIR SALAK - Meskipun sudah bergelar nenek, Saerah Abdul Majid tidak kekok bersama-sama anak muda mendalami ilmu keusahawanan digital menggunakan platform media sosial dalam melebarkan perniagaan dodol.
Pengasas berusia 83 tahun itu juga aktif beraksi depan kamera hingga video celotehnya berkaitan perniagaan dan pengurusan kebun durian menggunakan dron dalam loghat Perak beberapa tahun lalu tular di media sosial.
Dengan usaha dijalankan itu, Saerah yang lebih mesra dipanggil Opah Yang kini mula dikenali dengan tagline ‘Hello-hello opah ye’ bagi mempromosikan makanan tradisional tersebut.
Jelasnya, faktor usia tidak sesekali menjadi penghalang untuknya terus memajukan perniagaan selagi hayat dikandung badan.
Tambahnya, promosi dalam talian itu aktif dilakukan selepas perniagaan dibina lebih 12 tahun lalu merudum ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.
"Dalam tempoh itu, anak-anak, menantu dan cucu sambil dibantu Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW), Nordin Abdul Malek mencari idea untuk meningkatkan jualan dodol.
"Dengan usaha IGROW yang memuat naik pelbagai video berbentuk satira, pelanggan kini sudah mengenali saya dan Dodol Opah Yang. Mereka datang kedai mesti minta bergambar dan terbaharu temu bual secara langsung dalam rancangan radio popular,” katanya ketika ditemui di Kampung Empai dekat Kampung Gajah.
Mengimbau detik awal perniagaan Dodol Opah Yang pada 2012, Saerah berkata, perusahaan itu merupakan hasil idea anaknya Normi Ramli, 53, dan menantunya, Mohd Ramli Bakari, 64, yang mahu makanan tradisional itu tidak luput ditelan zaman.
"Dodol ini menggunakan resipi ibu sebelum diturunkan kepada anak-anak pula. Awalnya kami hanya mengacau dalam kawah dan dapur kayu hingga memakan masa lebih 10 jam.
"Kudrat mereka berdua mengusahakan dan sedikit demi sedikit kita berjaya menambah peralatan masak dan mesin pembungkusan bagi menghasilkan lebih banyak produk,” katanya.
Saerah berkata, inovasi makanan tradisi itu dikembangkan menggunakan bekas sumi yang lebih kecil, mudah dibawa dan dimakan.
"Dodol kecil ini bertujuan untuk menambat hati dalam kalangan pelanggan termasuk kanak-kanak dan boleh dijadikan cenderahati.
"Tidak terhenti di situ, kita turut dapatkan pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pensijilan Makanan Sihat Tanggungjawab Industri (MeSTI),” katanya.
Ditanya kesediaan untuk muncul di layar sosial, Opah Yang yang mempunyai 30 cucu menjelaskan bahawa dia masih bersemangat untuk terus membuat kandungan sekali gus mempromosikan premisnya itu.
Dodol, kopi lebih umph
Keluarga Saerah terus mengorak langkah ke hadapan dengan membuka kedai kopi yang dikenali sebagai Opah Barista.
Katanya, kafe pertama dibuka di kampungnya itu berjaya menarik pelanggan untuk bersantai di premisnya itu pada sebelah petang.
"Zaman dahulu, kopi O dihidangkan bersama dengan dodol, jadi kita realisasikan dengan membuka kafe yang menawarkan pelbagai jenis kopi di samping makanan Barat dan kampung pada harga berpatutan.
"Dengan pembukaan kafe ini, penduduk tidak perlu bersusah payah untuk ke bandar terdekat hanya untuk mendapatkan secawan kopi kerana premis kami turut menyediakannya,” ujarnya.
Jelasnya, kafe yang baru beroperasi lebih empat bulan lalu telah menjual lebih 1,000 cawan kepada pelanggan dalam tempoh tersebut.
Tambahnya, dia kini mempunyai lapan pekerja terdiri anak dan cucu yang menguruskan kedua-dua perniagaan keluarganya itu.
"Saya mahu makanan tradisional ini terus mendapat tempat di hati pelanggan dan berhasrat mahu membuka cawangan,” jelasnya.
Katanya, penghargaan turut diberikan kepada pelbagai pihak yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung dalam mempromosi perusahaan makanan tradisional hingga dikenali dalam negara.