MERU – Walaupun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, di sini mempunyai kepadatan pelajar yang tinggi namun ia menjadi pilihan penduduk sekitar kawasan terbabit.
Rata-rata ibu bapa yang ditemui maklum mengenai perkara itu namun menganggap ia bukanlah satu masalah besar berikutan anak-anak masih belajar dalam suasana selesa.
Menurut Nor Afidah Selamat, 45, suri rumah, pertambahan bilangan pelajar boleh dikaitkan juga dengan pertambahan bilangan penduduk di Meru.
"Meru semakin pesat membangun, begitu banyak kawasan perumahan di sini.
"Kesemua mereka tertumpu ke sekolah ini memandangkan sekolah menengah lain agak jauh contohnya di pekan Kapar dan Bandar Klang,” katanya.
Katanya, SMK Meru yang terkenal dengan pencapaian dalam bidang sukan turut mendorong ia menjadi pilihan ibu bapa dan pelajar.
"Sebab tu ramai juga orang luar pilih sekolah ini untuk menempatkan anak-anak mereka yang ada potensi dalam bidang sukan seperti bola sepak,” katanya.Bagi Rosli Mohamed, 55, kerja sendiri, lokasi SMK Meru agak strategik kerana berada di jalan utama juga menjadi faktor sekolah ini jadi tumpuan.
"Sebab itu ramai ibu bapa pilih untuk sekolahkan anak mereka di sini sebab tak perlu tempuh kesesakan berbanding jika hantar anak mereka di SMK Bukit Kapar."Kos minyak dan masa boleh dijimatkan,” katanya.
Sementara itu, Norasiah Abdullah, 51, suri rumah berkata, keempat-empat anaknya bersekolah di SMK Meru kerana jarak sekolah dengan rumah agak dekat.
"Biar ramai pun murid di sini, paling mustahak anak saya boleh pandai dan jadi manusia berguna.
"Tapi tahun ini ada yang hantar anak mereka di SMK Bukit Kapar, mungkin dapat kurangkan sikit kepadatan pelajar di sekolah ini,” katanya.