KOTA KINABALU - Kehadiran Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam program Himpunan Perdana Rakyat anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah hanya sekadar memenuhi undangan sebagai wakil Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut menafikan kehadirannya itu sebagai petanda akan ada kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal menjelang tidak lama lagi.
"Kita hadir mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam mewakili Kerajaan Perpaduan dan bersama-sama dengan pimpinan yang lain, Datuk Seri Salleh Said Keruak menghadiri program pada hari ini sebab kita dijemput dan menerima undangan.
"Bukan (petanda kerjasama), kita hadir atas jemputan sebagai dalam satu kekuatan Kerajaan Perpaduan," jelas beliau ketika ditemui pemberita di pekarangan Dewan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad.
Katanya lagi, beliau malah berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir menyampaikan Pidato Perdana dalam himpunan tersebut.
Selain Bung Moktar, beberapa pemimpin daripada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hadir sama sebagai tetamu jemputan termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Untuk rekod, Bung Moktar sebelum ini pernah mengangotai barisan kabinet negeri sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah.
Bagaimanapun, pada awal tahun 2023 berlaku pergolakan politik di negeri ini dan menyebabkan beliau digugurkan daripada kabinet manakala portfolionya disandang, Datuk Ir Shahelmey Yahya.