Warga emas dipukau, rantai emas lesap

Iklan
Seorang wanita warga emas kerugian RM6,000 apabila rantai emas miliknya lesap selepas dipukau seorang lelaki ketika menerima rawatan di sebuah Klinik Kesihatan di Alor Setar pada Ahad. (Gambar kecil: Siti Nor Salawati)

ALOR SETAR - Seorang wanita warga emas kerugian RM6,000 apabila rantai emas miliknya lesap selepas dipukau seorang lelaki ketika menerima rawatan di sebuah Klinik Kesihatan di daerah ini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pada jam 8 pagi mangsa yang berusia 60 tahun pergi ke klinik berkenaan untuk mengambil ubat.

Iklan
Iklan

Katanya, mangsa kemudiannya didatangi seorang lelaki tidak dikenali menawarkan rawatan tradisional kepadanya.

"Mangsa menyatakan telah menolak tawaran tersebut, tetapi suspek tetap mendekati mangsa sebelum beredar beberapa minit selepas itu," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Iklan

"Dia mengesyaki rantai itu dibawa lari oleh suspek kerana sebelum itu suspek dikatakan menegur rantai lehernya kelihatan longgar dan bertindak memegang rantai itu seolah mengetatkannya," katanya.

Siti Nor Salawati berkata, akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kerugian anggaran RM6,000.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang giat mengesan suspek iaitu seorang lelaki berbangsa Cina, berketinggian anggaran 160 sentimeter dan berusia sekitar 60-an.

"Sehubungan itu polis meminta kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berkenaan suspek, untuk tampil memberi maklumat kepada pihak polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di talian 04-7747222 atau mana mana balai polis berhampiran," katanya.