Keluarga bersyukur jenazah sempurna walaupun melecur

Iklan
Ahli keluarga menyiram air di pusara Allahyarham Muhammad Firdaus selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Jay, Matang Jelutong, Bagan Serai pada Isnin.

BAGAN SERAI -"Minta halal makan minum, panjang umur jumpa lagi," itu pesanan yang sering diberikan Muhammad Firdaus Abdull Fatah, 36, kepada keluarganya setiap kali belayar.

Muhammad Firdaus merupakan salah seorang anak kapal yang maut dalam tragedi letupan bilik enjin di perairan Samalaju, Bintulu, Sarawak, Jumaat lalu.

Iklan
Iklan

Pesanan itu dan hantaran gambar ketika bertugas sebagai pembantu jurutera sejak 2011 menjadi kenangan buat adiknya, Muhammad Amirul Shafiq, 28.

Allahyarham Muhammad Firdaus yang maut dalam tragedi letupan bilik enjin kapal di Bintulu, meninggalkan seorang isteri, Siti Rashidah.

"Kali terakhir kami berkumpul pun ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri sebelum dia bergerak ke Bintulu, Mei lalu.

Iklan

"Ketika berjauhan, arwah rajin bertanya khabar adik-beradik dan emak selain sering juga hantar gambar dia tengah memancing dalam kumpulan WhatsApp," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Parit Jay, Matang Jelutong di sini pada Isnin.

Menurutnya, keluarga bersyukur apabila jenazah dalam keadaan sempurna walaupun melecur akibat kejadian itu.

Iklan

"Arwah sepatutnya pulang bercuti minggu depan tetapi sudah ketentuan-Nya, kami sekeluarga reda.

Rokiah (tiga dari kanan) tidak dapat menahan sebak ketika menyiram pusara anaknya, Allahyarham Muhammad Firdaus.


Sementara itu, ibu mangsa, Rokiah Hassan, 70, ketika ditemui masih bersedih akan kehilangan anak keenam daripada sembilan beradik itu.

"Tiada apa yang boleh dikatakan, terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah arwah," katanya ringkas.

Rakannya, Shahrezza Mohd Yusoff, 37, memaklumkan arwah ada menyatakan hasrat mahu berhenti kerja kerana sering berjauhan dengan keluarga, Mei lalu.

"Dia mahu menyara keluarga dengan bekerja di kampung. Tidak sangka luahannya itu rupa-rupanya dia pergi untuk selamanya.

"Sebagai sahabat, memang saya agak terkejut bila menerima berita kejadian yang menimpa dirinya," katanya.

Jenazah Muhammad Firdaus selamat dikebumikan sekitar jam 7.25 pagi dan Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Rashidah Sharif, 31.

Sebelum ini media melaporkan dua pekerja kapal maut manakala seorang parah dalam letupan di sebuah kapal di perairan Samalaju pada Jumaat.

Selain Muhamad Firdaus, George Ngilah, 24, dari Sibu turut terkorban dalam tragedi letupan melibatkan bilik enjin kapal terbabit.

Ketika kejadian, seorang lagi mangsa yang dilaporkan parah telah dikejarkan ke Hospital Nyabau, Bintulu, Sarawak untuk rawatan lanjut.