Tiada kes terbaru koronavirus di Kedah: Exco

Iklan
Dr Ismail (kiri) ketika meninjau proses saringan dan pemantauan kesihatan terhadap pengunjung yang memasuki sempadan negara di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam, Isnin lalu.

ALOR SETAR - Hanya seorang pesakit disahkan positif koronavirus di Kedah, dan kini sedang dirawat di wad pengasingan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

Exco Kesihatan, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, tiada penambahan kes di Alor Setar yang didakwa sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Iklan
Iklan

Menurutnya, maklumat yang tular sejak semalam itu palsu dan orang ramai diminta merujuk ke laman web Kementerian Kesihatan atau sumber berita sahih sebagai rujukan.

"Tiada tambahan kes di Kedah, HSB setakat ini belum menerima pesakit yang dikaitkan dengan koronavirus,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Iklan

Semalam, tular di laman sosial mendakwa terdapat dua lelaki Cina dirawat di HSB selain kehadiran khemah pemeriksaan kesihatan yang didirikan di hadapan wad kecemasan susulan kes terbabit.

Dr Ismail berkata, pesakit yang dikuarantin di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi merupakan seorang kanak-kanak berusia empat tahun, manakala adiknya berusia dua tahun bebas daripada virus itu.

Iklan

"Dua kanak-kanak perempuan itu dari Guang Dong, China datang bersama ibu bapa mereka dan berada di Langkawi sejak Jumaat lalu untuk bercuti. Apabila seorang dijangkiti, pihak hospital dan Jabatan Kesihatan akan memanggil semua ahli keluarga termasuk penumpang dalam penerbangan yang sama untuk disaring di hospital berdekatan,” katanya.

Menurutnya, semua hospital di Kedah sudah siap siaga berdepan ancaman koronavirus dengan mendirikan khemah pemeriksaan kesihatan berasingan.

"Ini langkah pencegahan awal yang diambil, khemah terbabit hanya untuk memeriksa pesakit disyaki koronavirus untuk elak mendekati pesakit lain di hospital, bagi mengelak ia merebak. Kalau mangsa perlu diasingkan mereka dibawa ke wad tanpa menggunakan laluan orang ramai,” katanya.

Dr Ismail berkata, terdapat empat buah hospital di Kedah yang melakukan saringan kesihatan koronavirus, iaitu Hospital Sultanah Maliha di Langkawi; Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar; Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani serta Hospital Kulim.

Maklumat palsu yang tular sejak semalam.

"Untuk rawatan koronavirus, kita akan rujuk pesakit ke hospital di Alor Setar dan Langkawi sekiranya ada. Kemudahan di kedua-dua hospital itu lengkap untuk dijadikan hospital rujukan, bermakna pesakit dari Langkawi tak perlu dibawa ke HSB,” katanya.

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) tertentu turut didirikan khemah pemeriksaan berasingan dan orang ramai tidak perlu panik kerana ia prosedur biasa.

"Petugas kesihatan memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga untuk elak risiko jangkitan ketika bertugas, bukan kerana adanya pesakit di kawasan berdekatan,” katanya.

Dr Ismail berkata, dalam pemeriksaan dilakukan di laluan masuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam bermula 1 hingga 27 Januari, seramai 16,000 orang memasuki negara ini.

"Daripada jumlah itu, hanya 14 pelancong China atau berisiko, dan mereka telah menjalani saringan kesihatan namun negatif, dan tidak menunjukkan simptom,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat pertambahan tiga kes baharu positif koronavirus di negara ini, melibatkan warganegara China.

Ia sekali gus menjadikan keseluruhan tujuh kes positif dilaporkan di negara ini sejak 25 Januari lalu. Perkara tersebut dimaklumkan oleh KKM menerusi satu kenyataan media, awal pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN Koronavirus: Tiga lagi warga China disahkan positif