Teroka tanah secara haram, kerajaan negeri perlu bertindak

Iklan
Tuan Ibrahim

KUANTAN - Penerokaan tanah secara haram terutamanya oleh pendatang asing bukan sahaja merugikan sumber negeri tetapi turut menimbulkan masalah kelestarian alam dan keselamatan orang ramai.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kebimbangan yang dizahirkan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan tanah di Pahang yang diterokai tanpa rasa takut dan ditakluki oleh pendatang asing secara terang-terangan amat wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

"Saya amat bersetuju dan berterima kasih atas keprihatinan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku yang sememangnya tidak asing lagi dengan kecaknaan Tuanku terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

"Kita harus belajar dari kejadian yang merugikan negeri dan nyawa rakyat, seperti kejadian menimpa lima warga Myanmar, juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang maut dalam kejadian tanah runtuh di kebun sayur Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands pada awal tahun ini," ujar beliau dalam hantaran Facebook miliknya pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, baginda menzahirkan kebimbangan apabila tanah di Pahang mula 'dijajah' oleh pendatang asing secara terang-terangan disebabkan kurang nilai integriti.

Baginda bertitah, sebagai contoh tanah-tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha kini telah disewakan kepada warga asing.

Iklan

Al-Sultan Abdullah bertitah sedemikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Balai Mahkota Istana Abdulaziz di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu memberitahu, hakikatnya, 'penjajahan' tanah secara haram ini seperti yang diluahkan baginda, turut diakui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, masalah itu semakin membarah apabila integriti sesetengah pihak amat merisaukan.

"Mereka sanggup menggadaikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk Pahang demi merebut keuntungan untuk diri sendiri. Kita tidak mahu angka 160,000 hektar tanah kerajaan yang dilaporkan diterokai di seluruh Pahang makin meningkat.

"Justeru, kerajaan negeri harus menambah baik penguatkuasaan dengan menambah kakitangan penguatkuasaan," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kerajaan juga boleh memaksimumkan sumber tenaga manusia yang sedia ada dengan mengadakan kerjasama strategik antara beberapa agensi untuk memantau kegiatan tersebut.

Jelasnya, rakyat juga perlu diberi kesedaran tentang perlunya ada jati diri dan integriti yang tinggi.

"Semestinya YAB Datuk Seri Menteri Besar Pahang serta kepimpinan negeri perlu menjadi contoh agar ia menjadi teladan kepada rakyat keseluruhannya.

"Akhirnya, saya menyeru kepada rakyat Pahang agar bersama-sama dalam memastikan tanah dan sumber bumi negeri ini tidak diambil dan dikawal oleh 'orang asing'.

"Kita tidak mahu merosakkan ekonomi negeri serta negara melalui kawalan dan pemilikan oleh penceroboh asing dan penceroboh haram ini," katanya lagi.