PRK Nenggiri: Calon BN tak tolak jika DAP bantu kempen

Iklan
Mohd Azmawi

GUA MUSANG - Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani tidak menolak jika DAP yang merupakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) hadir membantu kempennya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Mohd Azmawi yang lebih dikenali sebagai Awie berkata, bantuan itu berkemungkinan mampu memberi kelebihan kepada BN.

Iklan
Iklan

"Ini negara demokrasi. Kita tiada hak untuk halang sesiapa sahaja untuk datang. Mana-mana pemimpin boleh datang dan bantu kempen.

"Lagipun saya rasa mereka (DAP) lebih faham dengan keadaan di Nenggiri ini apabila 87 peratus adalah pengundi Melayu. Kita tak ada halangan pemimpin DAP nak datang bantu kempen.

Iklan

"Mana tahu ia beri kelebihan, kita tak tahu. Kita berusaha selebihnya kita serah kepada ALLAH SWT,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bertam Baru di sini.

Kempen PRK Nenggiri bermula selepas proses penamaan calon pada Sabtu lalu dan menyaksikan persaingan dua penjuru antara Mohd Azmawi dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail.

Iklan

Mohd Azmawi yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang menjelaskan, beliau terbuka dalam menerima bantuan rakan-rakan parti Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh kempen selama 14 hari berkenaan.

Sementara itu, ditanya mengenai tohmahan kepada UMNO dengan melabel parti berkenaan sebagai UMDAP (UMNO-DAP), beliau menegaskan, gelaran itu hanya satu persepsi.

Mohd Azmawi berkata, bagaimanapun beliau bertanggungjawab untuk menjelaskan keadaan sebenar dan memenangi hati pengundi.

"Setiap kali pilihan raya isu UMDAP ini akan timbul. Itu cabaran bagi saya dan saya kena meyakinkan pengundi di Nenggiri untuk menerima saya dan yakin saya boleh menjaga kebajikan mereka.

"Sebab pengundi di sini memilih wakil kepada mereka yang boleh laksanakan tanggungjawab dan saya rasa saya boleh laksana tanggungjawab itu jika diberi peluang," katanya.