GUA MUSANG - Lebih 30,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri memerlukan kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan stesen minyak untuk kelangsungan hidup mereka.
Tinjauan Sinar Harian mendapati penduduk mendakwa mereka perlu ke bandar Gua Musang sejauh lebih 50 kilometer (km) dan memandu hampir 45 minit untuk ke mesin ATM berhampiran.
Malah ada yang perlu menaiki bot sejauh 30 minit kemudian menaiki kereta api selama sejam semata-mata untuk mendapatkan kemudahan mesin ATM.
Stesen minyak terdekat pula sekitar 30 km dan ini menyebabkan penduduk sentiasa berdepan pelbagai masalah.
Seorang penduduk dari Kampung Bertam Baru, Mohd Zulkiflie Harun, 58, berkata, setiap kali mahu mengeluarkan wang walaupun berjumlah RM100 dia perlu ke Bandar Gua Musang disebabkan ketiadaan kemudahan itu.
"Kami berharap calon yang akan menang PRK (Pilihan Raya Kecil) DUN (Dewan Undangan Negeri) Nenggiri kali ini dapat mendengar serta prihatin terhadap isu penduduk di sini," katanya ketika ditemui pada Isnin.
Menurut pekebun itu, selain kemudahan ATM mereka juga memerlukan sebuah stesen minyak bagi mendapatkan bahan bakar.
Ujarnya, mereka terpaksa meredah perjalanan sejauh 30 km untuk ke stesen berhampiran di Hentian Rehat dan Rawat Rantau Manis untuk mendapatkan bekalan.
Bagi Imam Muda Masjid Mukim Bertam Baru, Mohd Mokhtar Che Ahmad, 51, pula memberitahu, ada sebuah kedai runcit di sini yang menyediakan kemudahan elektronik bank (e-bank) tetapi pengeluarannya terhad kepada RM300 sahaja.
"Pilihan yang kami ada ialah ke Bandar Gua Musang dengan memandu 45 minit.
"Rata-rata penduduk di sini terpaksa mengambil risiko membawa jumlah wang yang banyak untuk ke ATM berhampiran. Kami berharap sangat kemudahan ini dapat disedaikan dengan segera kerana ia amat diperlukan," katanya.
Beliau yang merupakan penduduk asal di sini berkata, untuk bekalan bahan bakar pula ramai penduduk mengeluh kerana mereka terpaksa keluar jauh sekitar 25 hingga 30 kilometer stesen minyak berhampiran.
Mohd Mokhtar memberitahu, masalah tersebut menyebabkan penduduk di sini ada yang memilih memiliki motosikal elektrik untuk kemudahan mereka bergerak di dalam kawasan kampung.
Sementara itu, Penggawa Daerah Bertam, Mohamad Norazhar Mohamad Noordin berkata, kesusahan penduduk di sini untuk mendapatkan mesin ATM dapat dilihat apabila mereka yang tinggal di Kampung Lu'lut, Kuala Sungai perlu menaiki bot menyeberangi Sungai Nenggiri terlebih dahulu selama 30 minit.
"Kemudian mereka perlu menaiki kereta api dari Bertam Baru ke bandar Gua Musang selama sejam pula.
"Sampai di sana mereka perlu menaiki kereta sewa pula ke bandar utama Gua Musang untuk mendapatkan ATM. Bayangkan kalau wang yang ingin dikeluarkan hanya RM100 atau RM200 sahaja, dengan masa yang telah diluangkan, kos pengangkutan," katanya.
Menurut beliau, masalah tersebut telah disuarakan beberapa kali dan paling terakhir pada 29 Julai lalu kepada pucuk pimpinan tertinggi Kerajaan Pusat.
Ujarnya, diharapkan rintihan dan keperluan rakyat di sini mendapat perhatian pemimpin.
Mohamad Norazhar memberitahu, bagi pembelian bahan bakar pula penduduk terpaksa menempuh perjalanan antara 20 hingga 30 km untuk mendapatkan bekalan di Kampung Star yang mempunyai kemudahan stesen minyak desa.
"Lebih menyedihkan lagi apabila stesen minyak desa ini sering terputus bekalan.
"Kami berharap PRK DUN Nenggiri kali dapat memberikan khabar gembira kepada semua penduduk," katanya.