DUN Negeri Sembilan lulus usul kecam pembunuhan Ismail Haniyeh

Iklan
Aminuddin (tengah) ditemui pemberita selepas Persidangan Kedua Penggal Kedua DUN Negeri Sembilan Yang ke-15, pada Isnin.

SEREMBAN - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Negeri Sembilan termasuk pembangkang sebulat suara meluluskan usul khas mengutuk pembunuhan kejam terhadap pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Usul itu diluluskan pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan Yang ke-15 pada Isnin.

Iklan
Iklan

Ia dikemukakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang kemudian dibahaskan oleh Exco Kanan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Aminuddin berkata, semua wakil rakyat perlu sepakat menyatakan ketegasan kepada seluruh dunia mengenai pendirian kerajaan negeri yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan Israel.

Iklan

"Dalam dewan yang mulia ini, kita sama-sama berkumpul dengan satu tekad, satu matlamat dan satu suara tanpa dikekang batas agama, bangsa atau politik, untuk mengangkat satu isu penting yang bukan sahaja menyentuh hati rakyat Malaysia bahkan majoriti warga antarabangsa.

"Sebelum tercetusnya serangan Isreal secara besar-besaran ke atas Palestin pada 7 Oktober lalu, Perdana Menteri telah menyuarakan sebanyak lima kali

Iklan

isu Palestin di pentas antarabangsa bagi menarik perhatian dunia kerana isu ini tidak pernah selesai sejak 75 tahun yang lalu," katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri mengambil beberapa ketetapan termasuk mahu Israel di bawah Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu bertanggungjawab ke atas pembunuhan Ismail yang merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa.

Ujarnya, kerajaan negeri juga kecewa dengan kenyataan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) yang dilihat begitu lemah sejak serangan Isreal terhadap Gaza dan Rafah sejak 7 Oktober lalu.

"Kita juga meminta kerajaan Malaysia bekerjasama dengan Negara-Negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza.

"Kita juga menggesa negara-negara sependapat mengemukakan usul kepada PBB bagi merujuk situasi akibat serangan Zionis ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga menyeru satu siasatan bebas yang penuh dibuat terhadap serangan Zionis.

Sementara itu, Jalaludin membahaskan usul itu mengesyorkan kerajaan mempertimbangkan mendirikan Hospital Medan di mana-mana negara yang bersempadan dengan Palestin seperti Mesir atau Jordan.

Beliau juga mencadangkan kerajaan untuk menyelitkan sedikit pengisian terhadap perjuangan Palestin dalam semua program kemerdekaan yang dilaksanakan.

"Sekurang-kurangnya, di waktu kita mengibarkan bendera Malaysia, kibarkan lah juga bendera Palestin sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia yang tidak berbelah bahagi.

"Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 perlu mengambil kesempatan mengemukakan satu Resolusi Khas yang menggabungkan seluruh suara komuniti ASEAN untuk mendesak PBB mencari jalan penyelesaian segera terhadap isu pencerobohan di Palestin," katanya.