IPOH - Kelompongan undang-undang anti lompat parti dijangka antara perkara yang dibincangkan pada Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia 2024 di Sarawak pada 11 hingga 14 September depan.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, walaupun perkara tersebut tiada dalam agenda persidangan namun ia tidak menghalang untuk speaker-speaker membincangkannya.
Menurutnya, setiap negeri mempunyai Undang-undang Tubuh masing-masing yang menjadi sumber rujukan utama.
"Ya, mungkin akan ada soalan (berkaitan kelompongan undang-undang anti lompat parti) itu walaupun ia tidak ada dalam agenda sebenarnya, tapi ia tidak menghalang untuk speaker bertanya supaya berlaku pemahaman mengenainya.
"Sebab harus diingat, tiap-tiap negeri ada Undang-undang Tubuh masing-masing. Jadi mungkin apa yang berlaku di Parlimen itu sebagai panduan, tapi akhirnya negeri ada hak masing-masing," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian sempena Lawatan Kerja ke DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Hadir sama mengiringi lawatan tersebut, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.
Sementara itu mengenai tindakan undang-undang yang mahu diambil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai keputusan tiada pengosongan kerusi bagi enam ahli Parlimen yang menyokong kerajaan, Johari berkata, sehingga kini tiada sebarang surat diterimanya.
Jelasnya, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, sebarang keputusan Speaker berhubung perkara yang bersangkutan Dewan Rakyat adalah muktamad.
"Namun begitu sebagai rakyat Malaysia siapa-siapa juga ada jalan lain. Jalan lain itu ialah mahkamah. Jadi hak setiap rakyat Malaysia untuk ke mahkamah.
"Bagi saya itu hak dia boleh gunakan, tapi saya belum dengar lagilah. Setakat ini tiada perkembangan terkini," katanya.
Sementara itu, mengenai lawatan kerja ke DUN Perak, Johari berkata, banyak perkara yang dapat dipelajari melalui kunjungan tersebut.
Katanya, Perak merupakan destinasi ketiga selepas Melaka dan Negeri Sembilan seterusnya mereka akan ke Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Pada 13 Julai lalu, Bersatu memaklumkan pihaknya kini hanya menunggu saranan daripada peguam sebelum mengambil langkah seterusnya berkaitan keputusan tiada pengosongan kerusi membabitkan enam ahli Parlimen parti itu yang menyokong Perdana Menteri.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, segala maklumat sudah diserahkan kepada peguam yang akan membuat penelitian sebelum mengemukakan cadangan tindakan lanjut kepada pemimpin Bersatu.
Selepas proses itu selesai, barulah pihaknya akan mengambil tindakan bersesuaian dan tegasnya, ia akan berlaku dalam masa terdekat.