ALOR SETAR - Kerugian hampir setengah juta ditanggung mangsa samun kumpulan Pon Maheran yang aktif memecah rumah dan mencuri kenderaan di beberapa kawasan di Kedah dan Perlis sejak awal tahun 2019.
Bagaimanapun, sindiket itu tumpas sepenuhnya selepas ketua sindiket ditangkap awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kumpulan tersebut aktif di beberapa kawasan di Kedah seperti Alor Setar, Pendang, Kubang Pasu, Sungai Petani, Gurun termasuk satu kes di Perlis.
Menurutnya, sebanyak lima buah kenderaan dirampas manakala tujuh lagi kenderaan yang dilarikan sindiket tersebut turut ditemui.
"21 kes jenayah telah dilakukan kumpulan Pon Maheran dan 12 kes daripada jumlah itu dilakukan di daerah Kota Setar sejak tahun lalu. Polis berjaya menangkap ketuanya dan empat lagi anak buah pada 8 Januari sehingga 16 Januari lalu dan percaya kumpulan ini lumpuh sepenuhnya.
"Ia merupakan tangkapan susulan selepas berjaya menangkap tiga ahli kumpulan ini pada awal tahun lepas dan menjadikan tangkapan keseluruhan adalah sebanyak 8 orang," katanya pada sidang media di IPD Kota Setar di sini hari ini.
Mohd Rozi berkata, sindiket tersebut menggunakan modus operandi dengan memecahkan rumah dan melarikan kereta mangsa sebelum meninggalkan kenderaan tersebut selepas melakukan kegiatan jenayah lain.
Jelasnya, hasil pengakuan oleh ahli sindiket itu, mereka mendedahkan kereta berjaya dilarikan kerana mangsa meletakkan kunci kenderaan itu di tempat yang mudah dilihat mereka selepas berjaya memecah masuk ke rumah mangsa.
"Kita dapati kereta-kereta itu ada yang ditinggalkan di Pulau Pinang, Kubang Pasu dan Sungai Petani selepas melakukan jenayah.
"Polis menasihatkan orang ramai agar jangan letak kunci kereta, kunci rumah di tempat yang mudah dilihat walaupun berada di dalam rumah sendiri. Jangan mudahkan penjenayah jika mereka pecah masuk semasa kita tidak berada di rumah ataupun sedang tidur," katanya.
Menurutnya, lima suspek tersebut berumur 24 sehingga 37 tahun dan turut didapati positif dadah semasa ditahan di Pendang, Kota Sarang Semut dan Gurun.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 457/379 A yang boleh membawa hukuman penjara satu hingga tujuh tahun," katanya.